fbpx

Lelaki cuba bunuh diri dipercayai alami tekanan perasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang dipercayai mengalami tekanan perasaan turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

KUALA LUMPUR – Tekanan perasaan disebabkan masalah keluarga dipercayai menjadi punca seorang lelaki berusia 28 tahun mengamuk serta cuba untuk membunuh diri di sebuah pangsapuri di Cheras awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, anggota polis yang tiba ke lokasi selepas menerima laporan daripada orang awam cuba untuk menenangkan lelaki berkenaan yang menjerit-jerit di dalam rumah sebelum dia kemudiannya berlari ke balkoni.

“Suspek enggan memberikan kerjasama selepas cuba ditenteramkan oleh polis dan terus berlari ke balkoni di belakang rumah sebelum cuba untuk terjun.

“Disebabkan pintu berkunci, anggota polis kemudiannya mendapatkan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan berjaya menahan suspek selepas pintu rumah berjaya dipecahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Mokhsein, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan berikutan masalah keluarga yang dihadapinya.

“Lelaki berkenaan berusia 28 tahun, tidak bekerja dan tinggal seorang diri di rumah tersebut dan saringan air kencing turut mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek kini ditahan di lokap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) AKta Dadah Berbahaya 1952,” tegas beliau.

Terdahulu, anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak serta Jalan Hang Tuah terpaksa menggunakan teknik ‘rapelling’ iaitu menurunkan dua anggota dari atas bumbung pangsapuri kemudian menutup pintu utama di koridor dalam usaha untuk menyelamatkan lelaki berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI