fbpx

Dua lelaki maut kereta bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan salah seorang penumpang Perodua Bezza yang dipercayai tercampak keluar sewaktu kemalangan di Jalan Tun Mustapha.

Oleh IVAN AMIRUL

LABUAN – Dua lelaki maut selepas kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki bertembung dengan sebuah van dalam kejadian di Jalan Tun Mustapha semalam.

Dalam kejadian berhampiran simpang lampu isyarat Masjid An-Nur sekitar pukul 11.45 malam itu, semua mangsa dikenali sebagai Amad Hassim, 40 dan Mal Parad, 36 disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan ekoran kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun yang membawa kedua-dua mangsa bergerak daripada arah bandar ke Jalan Masjid.

“Bagaimanapun, kereta dinaiki tiga individu terbabit bertembung dengan sebuah van jenis Nissan yang datang dari arah bertentangan setibanya di lokasi kejadian. Van terbabit dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun dan bergerak daripada arah Pohon Batu menuju ke pusat bandar.

“Akibat pelanggaran itu, dua penumpang Perodua Bezza dipercayai terhumban keluar manakala seorang lagi tersepit ditempat duduk hadapan. Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Bezza sewaktu memandu keluar dari simpang,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, pemandu Perodua Bezza dan van hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Unit Kecemasan Hospital Labuan.

“Sampel darah serta air kencing kedua-dua pemandu juga diambil bagi ujian dadah dan alkohol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” ujarnya. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI