fbpx
PARTEY (kiri) menjadi buruan Arsenal yang mahu menukarkannya dengan Guendouzi tetapi tidak dipersetujui Atletico. – AFP

Atletico tak layan tawaran Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Atletico Madrid dilaporkan telah menolak tawaran Arsenal yang bernilai £22.5 juta (RM123.2 juta) beserta bintang ‘buangan’ pasukan itu, Matteo Guendouzi untuk mendapatkan khidmat Thomas Partey.

Perjanjian itu dikatakan menemui jalan buntu kerana The Gunners gagal menepati permintaan Atletico yang mahu melepaskan Partey dengan harga dalam klausa perpindahan pemain tengah bertahan itu berjumlah £50 juta (RM273.7 juta).

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dilihat terdesak untuk ‘membuang’ Guendouzi, 21, daripada pasukannya selepas pemain tengah itu dilaporkan bertelagah dan tidak sehaluan dengan pendapatnya di Emi­rates.

Pada masa sama, Arteta, 38, juga sedang mencari jalan untuk membawa masuk Partey, 27, yang sebelum ini meluahkan keinginannya untuk menyertai kelab berpangkalan di Utara London itu.

Langkah terbaik buat pengendali dari Sepanyol itu adalah menjual beberapa pemainnya termasuk Guendouzi untuk membeli Partey selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak pengurusan dalam jendela perpindahan ketika ini.

Bagaimanapun, hajat Arsenal mungkin tertangguh kerana Guendouzi lebih cenderung untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian pertukaran pemain dengan seorang lagi bintang ‘buangan’ iaitu Philippe Coutinho dari Barcelona.

Wakil pemain muda Perancis itu dikatakan masih lagi berbincang dengan Barcelona bagi mencapai kata sepakat yang akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Bekas pemain Lorient itu juga tidak boleh menolak peluang menyertai Atletico kerana menyedari dia perlu meninggalkan Arsenal untuk mendapat minit permainan jika mahu mewakili Perancis pada Kejohanan Euro tahun depan. – AGENSI

POPULAR