fbpx

73 tabika, 3 taska Kemas ditutup sebab kluster Sivagangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sebanyak 73 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan tiga taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam Parlimen Kubang Pasu ditutup bermula hari ini susulan kluster baharu PUI Sivagangga yang dikesan di negeri ini.

Pengarah Kemas Negeri Kedah, Noor Azman Abd. Rahman berkata, arahan penutupan itu adalah sebagai langkah pencegahan awal di peringkat jabatan.

“Seramai 1,605 pelajar tabika dan 62 pelajar taska Kemas terlibat dan penutupan ini akan dibuat dalam tempoh 14 hari atau sehingga kita menerima arahan dan nasihat selanjutnya daripada Pejabat Kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, pelajar yang datang ke tabika dan taska pada hari ini diminta pulang ke rumah masing-masing.

“Pada masa sama, penutupan sementara ini juga membolehkan proses pembersihan dan nyah kuman dapat dilakukan di semua tadika dan taska tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan,” ujarnya.

Menurut Noor Azman, daripada 73 tabika yang ditutup, sebanyak tujuh tabika antaranya Tabika Kemas Kampung Natoi, Pekan Jitra, Kampung Bemban dan Kampung Tebing mempunyai rekod kontak rapat dengan kluster tersebut.

“Kontak rapat itu melibatkan waris pelajar yang disaring berhubung kluster berkenaan iaitu dari sebuah kedai makan di Napoh,” jelasnya.

Tambahnya, Tabika Kemas Kampung Tebing terletak berhampiran dengan kedai makan berkenaan iaitu kira-kira 500 meter sahaja.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Mohd Fikri Ujang berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sedang giat mengesan kontak rapat pemilik dan pekerja di sebuah kedai nasi kandar di Napoh, Jitra dekat sini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

“Semua kontak yang berkemungkinan terlibat akan disaring yang mana sampel mereka akan diambil dan diuji bagi mengetahui sama ada mereka positif atau negatif wabak terbabit,” katanya.-K! ONLINE

-habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI