fbpx

Suami isteri ditahan kes dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga tangkapan berasingan di Alor Setar semalam.

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

ALOR SETAR – Lima individu termasuk sepasang suami isteri ditahan dengan rampasan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM188,000 dalam tiga tangkapan berasingan di daerah ini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Setar melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun di Jalan Lencong Barat.

“Lelaki itu yang menaiki kereta Porsche ditahan bersama sepeket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 455 gram.

“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Impian kira-kira pukul 6.30 petang yang membawa kepada penahanan sepasang suami isteri berusia 40 dan 44 tahun,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya turut merampas satu plastik teh cina mengandungi ketulan mampat disyaki syabu seberat 1,036 gram.

“Polis kemudiannya melakukan tangkapan ketiga ke atas dua lelaki berumur 42 dan 37 tahun yang menunggang dua buah motosikal di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah di Pokok Sena.

“Pemeriksaan terhadap mereka menemui tiga bungkusan plastik berisi ketulan mampat syabu seberat 3,106 gram,” katanya.

Tambahnya, pihaknya masih menyiasat siapa yang mengetuai kumpulan itu dan tidak menolak kemungkinan rumah yang disewa suami isteri terbabit mahu dijadikan makmal penghasilan dadah.

“Kesemua mereka direman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI