fbpx

Mural Al-Sultan Abdullah dan Noor Hisham di Jalan Chow Kit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Orang ramai bakal melihat kembali potret gergasi pemimpin seperti Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam skala lebih besar di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Ini merupakan usaha dilakukan seorang usahawan, Adzarul Buqary Abu Bakar dalam memastikan tiga pelukis mural tersebut iaitu Muhammad Suhaimi Ali, Abdul Hadi Ramli dan Muhamad Firdaus Nordin berkarya semula.

Menurut Adzarul, pihaknya telah memuat naik pautan petisyen berkaitannya sejak Sabtu lalu dan telah mendapat hampir 7,000 sokongan setakat ini.

Katanya, perbincangan secara lanjut bersama tiga pelukis mural tersebut dalam projek terbaharu di Jalan Chow Kit hari ini.

“Sejak mural itu diconteng, ramai menyatakan sokongan padu dan berharap mural itu dilukis semula oleh mereka bertiga.

“Kita memilih Jalan Chow Kit disebabkan berada di pusat bandar selain menjadikan lokasi itu sebagai laman seni,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Petisyen tersebut boleh diakses di laman www.change.org/COVID19MURALKL dengan menyasarkan melebihi 10,000 tandatangan daripada orang ramai.

Kata Adzarul, pihaknya turut akan mengumpul 27 pelukis mural dan graffiti yang lain untuk turut sama menyumbang karya pada tujuh buah blok bangunan yang telah dikenalpasti di kawasan tersebut.

“Pihak kami turut mengadakan pertemuan bersama Balai Seni Visual Negara sebelum ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mendapatkan kerjasama sepatutnya.

“Mural tersebut akan dilukis pada dinding lebih tinggi dan kawasan tersebut hanya akan boleh diakses dalam tempoh tertentu iaitu 10 pagi dan 8 malam dan dilengkapi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) apabila dibuka nanti bagi mengelakkan kejadian vandalisme berulang,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi memberitahu maklum balas dan sokongan orang terhadap mereka meningkat sejak kejadian mural mereka diconteng di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 sebelum ini.

“Bagi lukisan Al-Sultan Abdullah, kami akan berbincang terlebih dahulu dan memohon keizinan daripada pihak istana.

“Namun, Noor Hisham adalah potret yang akan kami lukis selain penceramah bebas, Ebit Lew. Kami, akan melihat lokasi tersebut pada hari ini dan memastikan kawasan tersebut selamat untuk mural tersebut,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI