fbpx

Anak, isteri disisih kerana Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMAN tertekan apabila isteri dan anaknya dikecam orang kampung setelah dirinya didapati positif Covid-19. – Gambar hiasan

AZMAN termenung jauh tatkala menerima keputusan ujian swab yang telah dilakukannya. Keputusan yang mengesahkan dia positif Covid-19 itu membingungkannya.

Tiba-tiba dunianya terasa gelap apabila menyedari virus maut itu sudah membunuh ratusan ribu orang di seluruh dunia. Malah, sehingga kini masih belum mempunyai penawar.

Paling meresahkan hati Azman ialah memikirkan keadaan isterinya dan anak lelaki berusia 10 tahun yang baru pulang ke kampung sehari sebelum keputusan ujian itu diterima.

“Tidak putus saya berdoa kepada Allah SWT agar ahli keluarga dilindungi dan bebas daripada jangkitan Covid-19,” kata lelaki berusia 39 tahun itu kepada Panorama baru-baru ini saat mengimbas keresahannya apabila disahkan menghidap Covid-19 pada Mac lalu.

Cerita Azman, sebaik berita tentang penyakitnya diketahui orang kampung, dia berasa runsing kerana ahli keluarganya turut berada dalam tertekan.

Ia berikutan ada sesetengah pihak yang melemparkan kata-kata negatif kepada anak dan isterinya kerana ditakuti mereka akan menyebarkan virus tersebut di kampung.

Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan mengapa mereka pulang ke kampung sedangkan kontak terdekat iaitu Azman sudah disahkan positif Covid-19.

Kemalangan

Tambah Azman, ahli keluarganya bukan sahaja disisihkan orang-orang kampung bahkan saudara-saudara terdekat.

“Saya juga menerima pelbagai kiriman mesej WhatsApp yang marah kerana anak dan isteri pulang ke kampung. Saya berasa sedih kerana anak dan isteri menjadi mangsa sedangkan mereka tidak mengetahui jangkitan ini sebelum pulang ke kampung.

“Namun, syukur ujian yang dilakukan ke atas mereka selepas itu menunjukkan keputusan negatif dan ia sangat melegakan hati saya,” tuturnya.

Walaupun anak dan isterinya negatif daripada jangkitan Covid-19 tetapi ketakutan terhadap penyakit itu membuatkan orang sekeliling terus mengecam keluarga tersebut.

 

 

Apatah lagi, pada ketika itu Covid-19 masih baru dalam masyarakat, lantas masing-masing mempunyai ketakutan melampau sehingga ada yang tidak berani keluar rumah.

Di sebalik dugaan yang dihadapi oleh anak, isteri dan ahli keluarga di kampung, Azman pula meneruskan hari-hari yang cukup berat sebagai pesakit Covid-19.

“Saya dirawat di hospital selama 16 hari bersendirian tanpa ahli keluarga di sisi dan ia cukup membebankan emosi.

“Bagi melepaskan rasa rindu, saya akan menghubungi keluarga setiap hari dan mereka turut berbuat demikian,” ujar lelaki yang berasal dari selatan tanah air itu.

Ahli keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan kata-kata semangat agar Azman terus tabah menghadapi dugaan berat itu.

Bercerita lanjut mengenai punca jangkitan Covid-19 , Azman memberitahu, dia pernah menghadiri mesyuarat bersama kontak virus itu, malah sering berhubung dengannya atas urusan kerja.

“Selepas individu tersebut disahkan positif Covid-19, kami semua yang pernah menghadiri mesyuarat itu telah diarahkan untuk menjalani ujian swab. Pada 16 Mac, saya telah ditahan di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak ekoran masalah asma, demam dan cirit-birit,” katanya yang aktif melakukan aktiviti mendaki sehingga ke luar negara pada masa lapang.

Tambahnya, pada 18 Mac, dia telah menerima keputusan ujian swab dan ditahan di wad hospital tersebut selama 16 hari bersama 20 orang pesakit Covid-19.

Dugaan Azman tidak terhenti di situ sahaja, sekitar 20 hari selepas keluar wad, dia telah dilanggar kereta ketika membonceng motosikal sehingga mengalami keretakan pada buku lali dan kelingking.

Ekoran itu, Azman perlu menyambung cuti sakit dan bertugas semula pada bulan ini.

“Sepanjang bertugas selama 10 tahun sebagai pegawai keselamatan, saya tidak pernah cuti sakit. Tapi, pada kali ini saya telah diberi cuti sakit yang terlalu panjang,” katanya sambil berseloroh.

Akui Azman, bebas daripada Covid-19 seolah-olah telah memberi peluang kedua dalam hidupnya.
Dia berazam menggunakan peluang ini sebaik mungkin terutamanya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI