fbpx
OZIL (kanan) dikatakan telah menolak tawaran untuk berpindah ke Fenerbahce kerana gaji yang lebih rendah. - AFP

Fenerbahce mahu bantu Arsenal bayar gaji Ozil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL – Gergasi Turki, Fenerbahce sedia menawarkan bantuan kepada Arsenal dengan membayar gaji Mesut Ozil sebanyak £52,000 (RM282,381) seminggu jika bersetuju meminjamkan khidmat pemain tengah itu.

Bekas juara 19 kali itu tetap tidak berputus asa walaupun tawaran pertama sebelum ini telah ditolak oleh Ozil.

Bagaimanapun, ia tetap dilihat sukar menjadi kenyataan kerana Arsenal masih perlu membayar tujuh kali ganda daripada jumlah tersebut kerana gaji sebenar Ozil ialah £350,000 (RM1.90 juta) seminggu.

Jumlah gaji tinggi tersebut adalah salah satu punca The Gunners terdesak untuk melepaskan Ozil, 31, yang langsung tidak mendapat minit permainan sejak Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali berlangsung bulan lalu.

Pemenang Piala Dunia 2014 bersama Jerman itu lebih rela menghabiskan masanya di Arsenal dengan ‘menikmati’ gaji tinggi memandangkan kontraknya cuma berbaki setahun sahaja lagi daripada menerima bayaran rendah di Turki.

Fenerbahce bakal mengalami nasib sama seperti juara baharu Liga Super Turki, Istanbul Basaksehir yang sebelum ini mendedahkan keinginan menandatangani khidmat Ozil sebelum ditolak bekas bintang Real Madrid itu.

Bagaimanapun, ada juga laporan mengatakan peluang itu tetap terbuka kerana isteri Ozil iaitu bekas ratu cantik Turki, Amine Gulse dikatakan sentiasa mendesak suaminya menerima tawaran daripada kelab-kelab dari Istanbul. – AGENSI

 

POPULAR