fbpx

Perak akan tubuh Perbadanan Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Zolkafli Harun, mengadakan lawatan kerja sehari ke Pulau Pangkor hari ini.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Kerajaan Perak akan menubuhkan Perbadanan Pulau Pangkor sebelum akhir tahun ini bagi merancakkan lagi pembangunan pulau bebas cukai itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Zolkafli Harun, berkata ketika ini perkara itu sedang diperhalusi oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak terutama daripada aspek perundangan.

“Rang undang-undang mengenai penubuhan perbadanan itu akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijangka pada Oktober depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Perjumpaan Bersama Pengusaha Feri, Kastam dan Jabatan Laut di Kejora Garden Resort di Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Sekretariat Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor, Laila Mazwin Zakaria.

Zolkafli berkata, penubuhan Perbadanan Pulau Pangkor selaras dengan kewujudan perbadanan di pulau bebas cukai lain seperti Langkawi, Labuan dan Tioman.

Pulau Pangkor memperolehi status pulau bebas cukai pada 1 Januari lalu. Ketika ini, pentadbiran pulau itu di bawah kuasa Sekretariat PBC Pangkor dengan tanggungjawab pelaksana dilakukan oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Zolkafli yakin lebih banyak usaha dan projek pembangunan dapat dilaksanakan apabila Perbadanan Pulau Pangkor diwujudkan nanti.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan melebarkan laluan keluar masuk di jeti Pangkor daripada dua lorong sekarang kepada empat lorong dengan peruntukan RM1 juta, dijangka siap sebelum akhir tahun ini. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI