fbpx

Mengamuk bawa sabit ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk direman.

IPOH – Gara-gara berselisih faham dalam satu majlis pada Isnin lalu, suami kepada seorang Youtuber masakan terkenal ditahan polis selepas didapati membawa senjata berbahaya iaitu sebilah sabit di pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini petang kelmarin.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk datang ke hospital berkenaan dengan membawa sebilah sabit dipercayai untuk bertemu adik ipar­nya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Perselisihan faham itu dikatakan berlaku dalam satu majlis di Ipoh Isnin lalu yang mengangkat isteri suspek sebagai Ikon Bandaraya Ipoh.

Lelaki itu dipercayai marah apabila namanya tidak dipilih sebagai ikon, sebaliknya hanya nama isteri yang tersenarai.

Ketegangan berterusan sehingga menyebabkan suspek datang ke hospital lalu bertembung dengan isterinya. Dia kemudiannya memukul wanita itu di pekarangan hospital berkenaan.

Wanita tersebut berada di hospital untuk melawat salah seorang ahli keluarganya yang sedang menerima rawatan di wad.

Bagi kesalahan memiliki senjata, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan ahli keluarga,” katanya.

Difahamkan, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507 kanun sama kerana membuat ugutan jenayah.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, Majistret Nabihah Mohd. Noor membenarkan suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI