fbpx

‘Duri’ dalam media sosial selebriti muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR ERYANI, Wartawan Eksekutif Kosmo!

PENYAKIT hati yang sedang menjangkiti masyarakat pada hari ini semakin parah ditambah dengan adanya platform media sosial yang lebih menyumbang kepada keburukan berbanding kebaikan.

Dunia hiburan antara lubuk mudah untuk diserang pengguna media sosial atau netizen. Jika berita seseorang artis dikeluarkan, maka muncul komen-komen sindiran yang mempersoalkan kepentingan artikel tersebut kepada masyarakat.

Contoh terbaharu yang berlaku baru-baru ini, kisah selebriti cilik, Alyssa Dezek yang dikecam kerana membeli sebuah kende­raan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire bernilai RM360,000.

Netizen seakan tidak ber­puas hati dengan tindakan Alyssa dengan mendakwa dirinya me­nunjuk-nunjuk selain ada yang menuduhnya boros serta tidak pandai mengurus kewa­ngan.

Ada hati yang tidak tenteram melihat selebriti berusia 12 tahun itu berjaya memiliki sebuah kenderaan mewah pada usia yang sangat muda, sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh kanak-kanak seusianya.  

Sedar atau tidak, bahana kecaman media sosial sebenarnya mampu meninggalkan implikasi buruk kepada semua orang, baik artis mahupun golongan biasa. Kecaman hadir tanpa tembok sempadan. Virusnya boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

Lihat contoh beberapa siri kes bunuh diri dalam kalangan selebriti popular di Korea Selatan seperti Sulli, Goo Hara dan Kim Jong-hyun yang mengambil jalan mudah dengan membunuh diri akibat depresi menjadi mangsa kecaman netizen.

Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis, Prof. Madya Dr. Huzili Hussin melihat isu yang berlaku daripada dua perspektif yang mempunyai hubung kait antara sama satu lain.

Pertama adalah peranan masyarakat yang sepatutnya menyokong usaha atau kejayaan yang diraih oleh selebriti muda, bukannya menjadi pembenci.

“Tugas masyarakat bukan untuk mengecam, sebaliknya perlu sentiasa beri pandangan yang bernas kepada mereka supaya anak kecil ini tidak jadi lemah semangat dalam hidup.

“Jika dikecam, ia memberi kesan dan mungkin membuatkan mereka tidak mahu lagi terlibat dalam industri hiburan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagi perspektif kedua, Dr. Hu­zili meletakkan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa mereka yang sepatutnya bertindak selaku pemandu dalam kehidupan anak-anak untuk menentukan arah yang mahu dituju.

“Seeloknya ibu bapa perlu kawal perkara yang mahu ditonjolkan dalam media sosial. Tidak salah untuk berkongsi tetapi pada usia yang sangat muda, belum masanya untuk mereka berdepan kontroversi.

“Mereka tidak boleh jadi inklusif tetapi perlu terapkan konsep eksklusif. Maksudnya tidak semua perkara boleh dikongsi kepada semua sebab akhirnya nanti memberi kesan kepada kesihatan mental bakat muda ini seperti stres,” jelasnya.

Penyanyi muda Naim Daniel berpandangan, masyarakat tidak perlu menjadi ‘pendengki’ melihat kejayaan selebriti muda, sebaliknya pandanglah dari sudut positif.

“Sepatutnya berbanggalah dengan pencapaian kami, sebab pada usia sebegini sudah berdikari dan membeli keperluan dengan hasil titik peluh sendiri. Lihatlah perkara yang positif, jangan asyik cari kesalahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI