fbpx
Abot dan Rambai berada di sisi gajah liar jantan sepanjang operasi pemindahannnya dijalankan di Kampung Jalong, Sungai Siput hari ini.

[VIDEO] Abot, Rambai jinakkan gajah sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT – Seekor lagi gajah jantan liar berjaya dipindahkan dari Kampung Jalong ke Taman Negera Royal Belum dalam satu operasi selama lebih tiga jam hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, gajah jantan seberat 2.6 tan dan berusia 25 hingga 30 tahun itu telah ditangkap pada enam hari lalu sebelum persiapan untuk memindahkannya dibuat.

“Dua ekor gajah betina iaitu Abot dan Rambai yang berfungsi sebagai denak digunakan dalam operasi bagi memujuk gajah jantan yang belum diberikan nama itu.

“Selepas memberikan ubat pelali, kita akan membawa gajah liar tersebut ke dalam lori sebelum dilepaskan semula di habitatnya di Hutan Simpan Royal Belum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan proses pemindahan gajah liar berkenaan di Kampung Jalong di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff.

Proses pemindahan ini merupakan kali kedua dilakukan dari kampung sama selepas gajah pertama yang diberi nama Yoep Jalong ditangkap dua minggu lalu.

Menurut Ahmad Saidi, gajah berkenaan kemungkinan besar dia disingkirkan oleh kumpulannya selepas kalah dalam perebutan untuk menjadi ketua.

“Kemungkinan juga gajah tersebut agak agresif dalam kumpulannya sebelum ini, jadi ia disingkirkan.

“Bagaimanapun, sepanjang ia berada di kampung ini, ia tidak mencederakan orang ramai atau merosakkan harta benda di sini,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR