fbpx

APMM Pulau Pinang tahan empat nelayan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan yang ditahan APMM negeri di 11.8 batu nautika dari barat Pulau Bidan dekat George Town semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) negeri menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama empat nelayan selepas disyaki menceroboh di kawasan larangan pada 11.8 batu nautika dari barat Pulau Bidan, dekat sini semalam.

Operasi Pertiwi itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang oleh pasukan penguat kuasa APMM.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, pihaknya menahan seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 64 tahun bersama tiga awak-awak lelaki warga tempatan berusia antara 45 hingga 61 tahun.

Menurutnya, nelayan berkenaan  dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari daratan terhampir.

“Tekong dan awak-awak serta bot bersama dua gulung pukat tunda, dua unit papan tunda, 20 kilogram (kg) ikan baja dan 50kg pelbagai spesies ikan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

“Mereka diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM negeri bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Hamizan menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan dalam memastikan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di laut dapat dibanteras sebaiknya.

Beliau meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi APMM negeri di talian 04-2626146 atau 04-2643650. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN