fbpx

Anggota AADK cedera dibaling kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang penagih yang ditahan dalam serbuan Ops Cegah oleh AADK di sekitar Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda cedera pada tangan akibat terkena kayu yang dibaling penagih dadah dalam serbuan Ops Cegah di sebuah rumah di Kampung Rusa di sini semalam.

Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu, seorang penagih berusia 46 tahun bertindak agresif dan cuba meloloskan diri ketika cuba ditahan sepasukan anggota penguatkuasaan tersebut.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, penagih terbabit turut membaling sebatang kayu dan terkena pada tangan salah seorang anggota sehingga menyebabkan kecederaan luka.

“Lelaki itu berjaya ditangkap anggota operasi kira-kira 50 meter dari rumahnya dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kecederaan dialami anggota AADK akibat dibaling kayu oleh penagih dadah dalam serbuan Ops Cegah di Kampung Rusa, Sungai Petani.

 

Kata beliau, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan 10 lagi penagih dadah lelaki berusia antara 16 hingga 37 tahun.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah dengan lima positif methamphetamine dan morfin, empat positif morfin serta seorang positif ganja,” ujarnya.

Ujarnya, seramai enam penagih akan direman di lokap Kuala Muda manakala lima lagi dibebaskan dengan jaminan bersyarat.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.

Tambahnya, operasi berkenaan yang menggempur 14 kawasan dalam daerah Kuala Muda antaranya Flat Paya Nahu, Taman Ria Jaya, Taman Kempas dan Taman Nilam dilakukan berdasarkan aduan hotline serta aduan awam yang terima pihak AADK. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN