fbpx
ALYSSA ceria memiliki Toyota Vellfire yang dibelinya hasil wang yang diperoleh daripada pendapatan YouTube.

Alyssa tertekan dikecam netizen gara-gara beli Vellfire

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi kanak-kanak, Alyssa Dezek mengakui dirinya kini tertekan dengan netizen yang didakwa mengecam ibu ba­panya ekoran pembelian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bernilai RM250,000.

Alyssa, 12, berkata, netizen mengecam ibu bapanya kerana didakwa tidak menyimpan wang anaknya itu untuk masa depan, sebaliknya membeli kenderaan mewah selain mendakwa mereka menumpang senang kemewahannya.

Menurutnya, pembelian ken­deraan itu sebenarnya adalah kehendak dirinya dan menggunakan wang hasil pendapatannya sendiri sebagai bintang YouTube.

“Saya telah lama mengimpikan untuk memiliki sebuah kenderaan sebegitu. Saya memang suka kereta besar sejak kecil.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka ia akan menjadi isu. Saya agak sedih kerana ramai (netizen) mengecam sehingga ada yang menuduh ibu bapa saya tidak pandai menguruskan kewangan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Menurut Alyssa, niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimilikinya, tetapi lebih kepada ingin memberi inspirasi kepada kanak-kanak di luar sana untuk berjaya sepertinya.

“Toyota Vellfire ini bukan dibeli semata-mata untuk keselesaan, malah boleh digunakan bagi memudahkan saya bergerak ke lokasi yang jauh ketika bekerja.

“Justeru, saya harap tiada lagi suara-suara (sumbang) yang menuduh ibu bapa saya tidak pandai menguruskan kewangan saya. Kasihan mereka terkena tempias negatif ini,” ujarnya.

Sementara itu, ibu Alyysa, Suzanne Dezek berkata, pembelian kenderaan mewah itu baru-baru ini sebenarnya kemahuan Alyssa, malah dia dan suami, Hafidz Dezek juga tidak pernah bergantung kepada pendapatan anak­nya tersebut.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang diterimanya terutama menerusi bayaran daripada YouTube,” ujarnya.

Difahamkan, saluran YouTube Alyssa Dezek yang kini mempunyai kira-kira 3.11 juta subscribers dan single terbaharunya yang berjudul Lagu Untuk Kamu juga telah menerima sebanyak 56 juta tontonan.

Alyssa berjaya menjana pendapatan lumayan sehingga ratusan ribu ringgit menerusi YouTube.

Saluran YouTube Alyssa dikendalikan oleh ibunya sejak lapan tahun lalu.

POPULAR