Paya Indah Wetlands dikenali sebagai antara destinasi terbaik untuk memburu ikan toman berdekatan Lembah Klang. Tumbuhan melata di permukaan airnya umpama karpet merupakan cabaran utama memancing di sini.
Di sebalik keindahan tasik dan kekayaan biodiversitinya, tersimpan sejarah yang mungkin tidak diketahui ramai.
Kawasan ini dahulunya merupakan tapak perlombongan bijih timah yang aktif sebelum industri tersebut mengalami kemerosotan.
Aktiviti perlombongan yang dihentikan meninggalkan deretan lombong dipenuhi air dan terbiar.
Menyedari potensi kawasan tersebut, kerajaan melaksanakan usaha pemulihan bagi mengembalikan fungsi semula jadinya sebagai ekosistem tanah lembap.
Inisiatif yang bermula pada tahun 1997 itu akhirnya membawa kepada pewartaan Paya Indah Wetlands sebagai Rizab Tanah Lembap pada 17 Februari 1998 di bawah Kanun Tanah Negara.
Paya Indah Wetlands Discovery
Saya berpeluang merasai sendiri pengalaman memancing di sini bersama beberapa orang rakan.
Misi kami mudah iaitu untuk merungkai dan merasai sendiri kekuatan ikan toman di sini.
Ini merupakan kali pertama saya memburu spesies itu menggunakan bot kerana kebiasaannya saya hanya mengilat dari tebing (land-based).

Untuk memancing di sini, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga minggu lebih awal kerana lokasi ini cukup terkenal dalam kalangan pemancing yang ingin memburu toman.
Kos sewaan bot adalah RM300 bagi sesi sehari, bermula dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. Sebuah bot boleh memuatkan dua orang pemancing bersama seorang tekong.
Tiga buah bot, tiga orang tekong dan enam orang pemancing sudah bersiap sedia di Jeti Tasik Typha yang terletak di dalam kawasan Paya Indah Wetlands seawal pukul 7 pagi.
Pematuhan masa amat penting kerana waktu paling aktif untuk melihat tompokan anak-anak toman biasanya berlaku pada awal pagi.
Bagi memburu toman yang sedang menjaga anak, saya menggunakan set pancing kategori berat (heavy setup). Joran utama yang digunakan adalah G-Tech Black Storm yang dipadankan dengan kekili G-Tech Big Game 201HG.
Saya menggunakan tali benang berkekuatan 30lb yang dipadankan dengan shock leader 50lb kerana kawasan pancingan dipenuhi pokok teratai dan memerlukan set pancing yang mampu menghela keluar ikan dari struktur.
Misi bermula
Setibanya di lokasi pertama, kelihatan dengan jelas tompokan merah anak toman yang turun naik di permukaan air. Ia berada betul-betul di tengah laluan bot, berbeza dengan kelaziman spesies ini yang lebih gemar berlindung di celah-celah daun teratai.
Tekong bot kami yang mesra dipanggil Mie mengarahkan kami menggunakan gewang selaman dalam bagi memujuk induk toman yang berada di bawah kumpulan anak-anaknya.
Tanpa lengah, rakan saya terus menghantar gewang kira-kira semeter di belakang tompokan anak toman dan sebaik dikarau, gewangnya terus direntap ibu toman itu. Seekor induk seberat kira-kira 3 kilogram (kg) berjaya didaratkan.
Saya turut melontar gewang ke lokasi sama, namun tompokan anak toman menyelam seketika akibat perlawanan induk yang pertama tadi. Selang beberapa ketika, ia muncul semula di permukaan air.

Gewang terus saya baling ke anak-anak toman itu seperti yang dijangka, induk kedua menyambar rakus gewang berkenaan sehingga tali keluar deras dari kekili.
Kekuatan luar biasa yang dipamerkan induk toman ini benar-benar menguji ketahanan set pancing. Akhirnya, seekor ‘papa’ toman seberat kira-kira 4kg berjaya saya daratkan.
Lokasi heavy cover
Selang beberapa ketika, bot kedua dikemudi oleh tekong Irfan Sibli bersama Syahim dan Imza, menghampiri satu kawasan yang hampir keseluruhannya dipenuhi daun teratai.
Kelihatan ruang-ruang kecil di celah daun teratai dipenuhi buih-buih halus. Rupa-rupanya itulah tompokan anak toman yang sedang berlindung.
Syahim pantas menggunakan spinnerbait dan menghantarnya ke celahan daun teratai. Belum sempat ia tenggelam lebih dalam, seekor induk toman yang begitu agresif terus membahamnya. Menggunakan set mengilat yang kasar, ia cepat sahaja ditarik keluar dari rimbunan teratai.
Kami meneruskan misi untuk memujuk si bujang pula. Lontaran demi lontaran menggunakan gewang soft plastic (SP) yang dipersembahkan secara kalis sangkut (weedless) dilakukan di atas kawasan teratai.
Kemudian, bot kami menghampiri satu kawasan yang dipenuhi tunggul-tunggul kayu kecil.
SP saya meluru ke salah satu satu tunggul tersebut. Baru sahaja ia hendak dikayuh naik, saya dikejutkan dengan satu ‘letupan’ kuat apabila seekor toman membahamnya.
Malangnya, sambaran itu tersasar.
Mungkin aksi sebegini yang menjadikan toman antara spesies ikan pemangsa air tawar paling diminati oleh kaki casting.
Sepanjang hari menggempur lubuk-lubuk toman di Paya Indah Wetlands, kami berjaya mendaratkan lima ekor induk toman.
Bagi si bujang pula, kami hanya dihadiahkan beberapa letupan luar biasa tanpa sebarang tangkapan kerana semuanya miss call.
Sesi memancing kami berakhir pada pukul 7 petang. Walaupun misi memburu si bujang belum berjaya disempurnakan, namun pengalaman yang diperoleh sepanjang hari ini sudah cukup memberikan kepuasan dan pastinya misi itu akan diteruskan pada lain trip.














