PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga lagi individu terdiri daripada timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat sebuah badan berkanun.
Mereka dipercayai bersubahat dalam penyelewengan caj Notis Penalti (NOP) membabitkan RM450,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 9 Ogos terhadap ketiga-tiga suspek dibenarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 6 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2017 dan 2019,” katanya, hari ini.
Sumber berkata, tangkapan itu dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada 29 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
















