SEREMBAN – Di sebalik kesibukan menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan hari pengundian hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tetap kembali menjalankan tugas rasminya di Wisma Putra bagi menguruskan pelbagai urusan diplomatik negara.
Beliau berkata, pada hari Selasa ini saya menerima kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja kerana tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commision Meeting).
“Selain itu, bakal menerima lawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos minggu depan.
“Saya juga sepatutnya menghadiri mesyuarat tergempar negara-negara Arab dan Islam di Amman, Jordan berhubung pencerobohan serta keganasan berterusan Israel di Al-Aqsa, namun menugaskan wakil tetap Malaysia untuk menghadirinya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohamad berkata, ketidaktentuan geopolitik dunia ketika ini menyebabkan beban tugas Wisma Putra semakin meningkat dengan pelbagai rundingan dan mesyuarat tergempar perlu diadakan.
“Banyak kerja di Wisma Putra sekarang. Banyak lawatan rasmi masuk dan saya juga perlu ke luar negara.
“Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, banyak rundingan perlu dibuat termasuk mesyuarat yang tidak dijadualkan dan mesyuarat tergempar. Jadi banyak kerja perlu dilakukan disamping berdepan PRN Negeri,” katanya.














