fbpx
Mohd. Zaki.

Rampas arak tidak bercukai, 89 kura-kura bernilai lebih RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas minuman keras tidak bercukai kastam serta hidupan liar yang dilindungi bernilai lebih RM2 juta menerusi Op Taring Alpha 2 dan Operasi Bersepadu Khazanah, baru-baru ini.

Operasi bermula 30 Julai hingga semalam itu dilaksanakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman melalui Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, pada 30 Julai lalu, pihaknya menyerbu dua premis di Puchong dan Klang, Selangor hasil risikan terhadap sindiket yang dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan, pengedaran dan penjualan minuman keras tidak bercukai kastam.

Menurut Mohd. Zaki, operasi itu membawa kepada penahanan lima individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing.

“Turut dirampas ialah 389 peti minuman keras pelbagai jenama, 255 kotak minuman keras, dua buah lori serta lima unit telefon bimbit dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.9 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 138(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak 2024 dan menjadikan kawasan sekitar Pandamaran, Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang sebagai antara lokasi utama pengedaran minuman keras tidak bercukai.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, WCB/PSK merekodkan 21 kes melibatkan rampasan minuman keras tidak bercukai bernilai RM38.7 juta dengan 43 tangkapan di seluruh negara,” ujarnya.

Pada masa sama, Mohd. Zaki berkata, dalam Operasi Bersepadu Khazanah (Brian Exotic) semalam, WCB/PSK bersama Wildlife Crime Unit (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung telah menyerbu dua lokasi di Lunas dan Kulim, Kedah.

Katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas 74 ekor kura-kura Sulcata, 15 ekor kura-kura Yellow Pond Turtle, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah telefon bimbit.

“Keseluruhannya, sebanyak 89 ekor kura-kura daripada dua spesies berjaya diselamatkan dengan nilai rampasan dianggarkan RM190,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] (Pindaan 2022),” katanya.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, Operasi Bersepadu Khazanah merekodkan sebanyak 53 kes dengan 56 tangkapan serta rampasan keseluruhan bernilai RM93.88 juta.

Beliau menambab, kejayaan kedua-dua operasi itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan yang dilaksanakan WCB/PSK bersama agensi penguat kuasa strategik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN