YAN – Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan langgar lari berakhir apabila ditahan setelah kereta yang dipandu terbabit nahas di Guar Chempedak, di sini semalam.
Suspek berusia 51 tahun ditahan beberapa orang awam yang mengejarnya menggunakan lima buah kenderaan selepas kereta Perodua Viva dipandunya merempuh lori di persimpangan lampu isyarat pada pukul 12.40 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihaknya mengesan satu video tular memaparkan kemalangan membabitkan kereta Perodua Viva dan lori.
“Video berdurasi 23 saat itu memaparkan beberapa orang awam menarik keluar pemandu Perodua Viva sambil menuduh lelaki terbabit cuba melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal di Kampung Titi Batu, Dulang Kecil.
“Polis kemudiannya pergi ke lokasi kejadian dan menahan semula suspek selepas dia mengaku memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, ketika ditahan, lelaki itu mengalami kecederaan pada mulut dan mendakwa kecederaan tersebut akibat dipukul orang awam yang mengejar dan menahannya.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori turut mempunyai rekod kesalahan dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














