SHAH ALAM – MISC-Touchtronics FC mempamerkan semangat luar biasa apabila mengikat Akademi Mokhtar Dahari (AMD) 1-1 meskipun beraksi dengan sembilan pemain pada aksi Piala Presiden 2026 di Stadium UiTM sebentar tadi
Beraksi di laman sendiri, MISC-Touchtronics FC bermula dengan baik apabila berjaya mengimbangi corak permainan AMD yang tampil agresif sejak wisel permulaan
Bagaimanapun, pasukan pelawat masih tetap berjaya mendahului pada babak pertama menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Muhammad Iman Irfan Muhammad Hapis pada minit ke-45 untuk meletakkan AMD di hadapan 1-0.
Memasuki babak kedua, MISC-Touchtronics FC tampil lebih agresif dalam usaha memburu gol penyamaan.
Kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-84 apabila sepakan percuma R. Pravinash disudahkan dengan kemas oleh Muhammad Haziq Mohd Hafiz untuk mengikat kedudukan 1-1.
Namun, kegembiraan tuan rumah sedikit tercalar apabila Wan Muhammad Mikhail Wan Zakaria dilayangkan kad merah pada minit ke-84.
Empat minit kemudian, Muhammad Nur Irfan Mosby pula diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-88, memaksa MISC-Touchtronics FC mengharungi baki perlawanan dengan hanya sembilan pemain.
Pravinash terus menjadi watak penting buat MISC-Touchtronics FC apabila bukan sahaja mencetuskan gerakan gol penyamaan, malah mengetuai jentera pasukan dengan aksi bertenaga sepanjang 90 minit sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Walaupun berdepan tekanan hebat pada penghujung permainan, MISC-Touchtronics FC berjaya mempertahankan keputusan seri tersebut menerusi semangat juang tinggi dan disiplin yang mengagumkan bagi meraih satu mata berharga. – KOSMO! ONLINE
















