KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, projek monorel Putrajaya yang terhenti pada tahun 2004 didapati tidak berdaya maju untuk diteruskan.
Jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam, ia berdasarkan keadaan infrastruktur rel sedia ada termasuk terowong bawah tanah yang telah lama terbiar.
Dapatan berkenaan menurut MOT, diperoleh menerusi Kajian Pengangkutan Awam di Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang yang turut menilai kebolehlaksanaan sistem monorel berkenaan.
“Ia memerlukan kajian lanjutan terperinci seperti ujian integriti struktur untuk mengenal pasti keadaan sebenar struktur yang sudah lama terbengkalai,” jelas MOT.
Penjelasan itu dibuat bagi menjawab soalan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman yang ingin tahu sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk meneruskan semula projek monorel Putrajaya dengan memperluas rangkaiannya bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.
Bagaimanapun MOT memaklumkan, kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketersediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan kepada rakyat di Putrajaya.
Antaranya dengan penyediaan perkhidmatan Bas Nadi Putra yang kini melibatkan tujuh laluan dengan 26 bas dan merekodkan purata 2,246 penumpang pada hari bekerja.
“Perkhidmatan bas perantara pula merangkumi dua laluan dengan lapan bas dan purata 1,173 penumpang, manakala ‘Rapid On-Demand’ melibatkan tiga laluan dengan sembilan van serta purata 315 penumpang pada hari bekerja.
“Penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan ketersambungan pengangkutan awam di Putrajaya,” tambah kementerian tersebut. – KOSMO! ONLINE














