KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa berhasrat menubuhkan pasukan Sukarelawan Seri Menanti yang lebih tersusun bagi menjaga kebajikan penduduk, khususnya warga emas yang tinggal bersendirian.
Kamarul Arifin, 46, berkata, idea tersebut tercetus selepas beliau mendapati ramai ibu bapa di kawasan berkenaan hanya tinggal berdua selepas anak-anak mereka berhijrah dan bekerja di bandar.
Menurutnya, golongan tersebut bukan sahaja memerlukan bantuan kebajikan dan kesihatan, malah perhatian, kunjungan serta sokongan emosi secara berterusan daripada masyarakat sekeliling.
“Apabila kami datang melawat, mereka sangat gembira dan ceria. Ada yang kurang sihat, tetapi apabila menerima tetamu, mereka kembali bersemangat dan mahu menyediakan makanan kepada kami.
“Mereka menganggap kehadiran kami seperti ahli keluarga sendiri. Sebab itu saya mahu memastikan penduduk Seri Menanti sentiasa disantuni dan tidak berasa keseorangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tanjong Ipoh, di sini, kelmarin.
Ujar Kamarul Arifin, Seri Menanti sebenarnya sudah mempunyai persatuan agama, jawatankuasa masjid, surau serta kumpulan kemasyarakatan, namun gerakan sukarelawan sedia ada belum disusun secara sistematik.
Katanya, semua kumpulan itu akan digabungkan dalam satu ekosistem komuniti supaya bantuan dapat disalurkan dengan pantas tanpa terlalu bergantung kepada waktu pejabat atau kehadiran wakil rakyat.
“Pekerja biasa mungkin bertugas dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, tetapi sukarelawan boleh bertindak tanpa mengira hari dan waktu. Mereka sentiasa berada dekat dengan masyarakat serta mengetahui masalah penduduk,” katanya.
Menurut Kamarul Arifin, pasukan itu juga boleh membantu memantau keselamatan kampung, mengenal pasti kehadiran orang luar serta bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan membabitkan warga emas.
Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang guaman berkata, aktiviti sukarelawan bukan perkara baharu baginya kerana pernah terlibat dalam pertubuhan belia, badan bukan kerajaan dan kerja kemasyarakatan termasuk mengendalikan kes secara pro bono.
Untuk rekod, pada PRN kali ini, Mohd Kamarul Arifin ditentang Muhammad Sufian Maradzi daripada Barisan Nasional dan Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.














