PASIR PUTEH – Seorang suri rumah kini berdepan ujian berat demi meneruskan kelangsungan hidup bersama suami dan dua anak mereka, selepas ketua keluarga kehilangan sumber pendapatan akibat penyakit saraf kronik yang dihidapinya sejak setahun lalu.
Situasi itu menyebabkan Nor Farah Syazwani Muhammed Lazim, 34, dan suaminya, Mohd. Azri Ghazali, 43, kini terpaksa menumpang di sebuah rumah sewa di Kampung Temila di sini dengan kos sewaan dibayar hasil ihsan bekas rakan sekolah serta bantuan individu yang bersimpati.
Menurut Nor Farah, suaminya sebelum ini bekerja sebagai tukang kimpal di Pelabuhan Klang, Selangor, namun terpaksa berhenti kerja pada tahun lalu selepas mengalami masalah kesihatan yang serius.
Katanya, Mohd. Azri disahkan menghidap penyakit tulang belakang bahagian leher sehingga menekan sistem saraf ke lengan kiri sehingga menyebabkan suaminya kerap mengalami rasa sakit, kebas, dan lemah pada bahagian tangan.
“Selain itu, suami juga menghadapi masalah keseimbangan badan yang memerlukan rawatan berkala di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
“Doktor mengesahkan bahawa suami tidak boleh melakukan kerja berat. Beliau juga tidak mampu berdiri atau berjalan dalam tempoh yang lama kerana akan mengalami kesakitan serta hilang keseimbangan. Suami pernah cuba bekerja semula, namun tidak mampu bertahan akibat keadaan fizikalnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Temila semalam.
Nor Farah mendedahkan, sejak suaminya jatuh sakit, mereka sekeluarga terpaksa hidup berpindah-randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa yang lain kerana kegagalan membayar sewa bulanan.
Sebelum menetap di Kampung Temila, mereka pernah tinggal di Kampung Tegayung, Melor dan Durian Kudung.
Kedaifan hidup yang ditanggung pasangan suami isteri itu turut menjejaskan persekolahan dua anak mereka, Nur Aisyah Humaira, 10, dan Hajib Hibbatullah, 7, yang ada kalanya terpaksa ponteng sekolah kerana keluarga tidak mempunyai wang belanja.
Meskipun baru menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan bermula bulan ini, Nor Farah menjelaskan jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian, sewa rumah, dan kos perubatan suaminya.
“Suami perlu menjalani rawatan dua kali sebulan di HPUSM. Ada ketikanya kami terpaksa melupakan hasrat membeli ubat-ubatan yang diperlukan akibat kekangan kewangan yang meruncing.
“Saya amat berharap ada majikan yang sudi menawarkan pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan fizikal suami. Pada masa yang sama, saya juga sedia bekerja di kedai makan atau apa sahaja demi membantu menyara keluarga,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Nor Farah boleh menghubunginya di talian 019-640 8128 atau menyalurkan bantuan kewangan terus ke akaun Maybank beliau bernombor 153039134752.














