fbpx
Gambar hiasan

Bekas perunding unit amanah dijel 18 bulan, denda RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang bekas perunding unit amanah dipenjara 18 bulan dan didenda RM2 juta oleh dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan penipuan pelaburan, lima tahun lalu.

Pengakuan bersalah itu dibuat selepas rundingan pengakuan bersalah (plea bargain) mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

Di hadapan Hakim Azrul Darus, tertuduh, Amran Mohd Amin, 59, didakwa secara tidak langsung terbabit dalam perbuatan yang beroperasi sebagai penipuan melibatkan pembelian sekuriti iaitu unit dalam Kenanga Shariah Growth Opportunities Fund.

Kesalahan itu dilakukan melalui representasi mengenai suatu pelaburan oleh Kenanga Investors Berhad terhadap seorang warga emas berumur 70 tahun sehingga menyebabkan mangsa membeli cek jurubank (banker’s cheque) bernilai RM130,000 untuk dibayar kepada Kenanga Investors Berhad bagi tujuan pelaburan.

Cek berkenaan kemudiannya digunakan bagi pembelian unit amanah dalam akaun tertuduh di Kenanga Investors Berhad, Jalan Tun Razak, di sini, antara Disember 2021 dan Februari 2022.

Di hadapan Hakim Ilmami Ahmad, lelaki itu didakwa atas pertuduhan serupa terhadap seorang lelaki berumur 37 tahun sehingga menyebabkan mangsa membeli cek jurubann bernilai RM10,000 bagi tujuan serupa, di lokasi sama, antara 20 Januari dan 27 Jun 2022.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 179 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM1 juta.

Kedua-dua mahkamah kemudian masing-masing menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan serta denda RM1 juta atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 8 September 2025.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Mageswary Karroppiah bersama Pegawai Pendakwa SC, Adibah Saiful Bahri dan Sharifah Noor Effah, manakala Amran diwakili peguam bela, Nor Azri Mohd Arif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN