Jati diri yang rapuh kini dilihat sebagai satu masalah terutamanya dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Dengan pelbagai bentuk cabaran terutamanya media sosial yang membuatkan fikiran mereka hanya tertumpu kepada hiburan di alam maya, ia menjadi antara faktor jati diri golongan muda semakin rapuh.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan budaya terus dipelihara di negara ini.
Tambahan pula, usaha memelihara selain mempromosikannya kepada masyarakat umum turut memberi impak positif termasuk mampu menjana ekonomi setempat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah Program Pelancongan Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
“Segala langkah dan strategi yang dilaksanakan melalui Program Pelancongan Budaya JKKN sentiasa berpandukan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) sebagai dasar utama pembangunan seni, budaya dan warisan negara.
“Selaras dengan aspirasi MOTAC, setiap program bukan sahaja bertujuan memperkasa sektor seni budaya, malah menjadikan kebudayaan sebagai pemangkin pembangunan negara yang mampan,” katanya.
Beliau berkata, DAKEN dilaksanakan berdasarkan beberapa teras, antaranya Budaya Nilai Tinggi iaitu memastikan Program Pelancongan Budaya JKKN memberi penekanan kepada pembentukan masyarakat yang menghayati nilai murni, jati diri dan semangat perpaduan melalui pengisian
seni budaya.
“Persembahan kesenian tradisional, aktiviti komuniti, pameran budaya, demonstrasi warisan serta penglibatan penggiat seni tempatan menjadi medium untuk menyemai rasa bangga terhadap identiti Malaysia.
“Ia di samping memperkukuh kefahaman dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat dan pelancong,” katanya.
Mohd. Yusri berkata, teras Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya pula memastikan program turut memberi fokus kepada usaha memelihara, memulihara dan mempromosikan warisan budaya negara agar terus relevan merentas generasi.
“Melalui pementasan seni tradisional, pameran kraf, makanan warisan, adat resam dan amalan budaya masyarakat setempat, warisan yang menjadi identiti negara terus didokumentasi, dipersembah dan diwariskan kepada generasi muda.
“Ia sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara khazanah budaya negara,” katanya.
Di bawah teras Penjanaan Ekonomi Kebudayaan pula, katanya, program pelancongan budaya turut menyokong pembangunan ekonomi kreatif dengan membuka peluang pendapatan kepada penggiat seni, usahawan budaya, pengusaha kraftangan, industri makanan tradisional serta komuniti setempat.
“Penganjuran program di destinasi pelancongan meningkatkan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa, merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta menggalakkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, swasta dan komuniti,” katanya.














