PETALING JAYA – Pelakon juga penyanyi popular, Daiyan Trisha mengakui pernah menjalin cinta dengan seorang lelaki bukan Islam namun hubungan tersebut putus di tengah disebabkan perbezaan agama.
Menurut Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 33, sangat penting bagi bakal pasangan hidupnya untuk memeluk agama Islam sekiranya ingin bersama menuju gerbang perkahwinan.
“Saya pernah bercinta dengan lelaki bukan Muslim tahun lalu. Saya menjalin hubungan bukan untuk berseronok, tetapi untuk berkahwin. Kami pernah bercakap soal agama.
“Pada mulanya dia seperti tidak kisah. Tapi lama-kelamaan mula menjadi isu. Jadi saya sedar perkara ini adalah sesuatu yang tidak boleh dinegosiasi.
“Saya tidak mahu dia menukar agama sekadar di atas kertas. Dia perlu menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim kerana dia bukan sahaja berkahwin dengan saya, tetapi keluarga dan budaya saya.
“Lelaki boleh menukar agama untuk berkahwin. Tetapi bukan sekadar di atas kertas. Itu tidak cukup untuk saya,” katanya dalam sebuah siri audio siar.
Tambah pelakon drama bersiri Anom Suraya itu lagi, hubungannya dengan lelaki tersebut mengajarnya tentang satu perkara, iaitu bukan hanya sekadar berkata ya untuk menukar agama, tetapi sesuatu yang lebih mendalam.
“Menukar agama bukan sekadar menukar agama. Tetapi anda perlu memahami, percaya dan praktik. Anda akan menjadi ketua keluarga dan membimbing keluarga,” jelasnya.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, netizen memberikan pendapat yang berbeza-beza.
Ada yang memuji tindakan Daiyan mengakhiri hubungannya dengan lelaki tersebut. Ada juga yang mengkritiknya kerana memilih untuk menjalin hubungan dengan lelaki bukan muslim. – KOSMO! ONLINE














