PETALING JAYA – Inti International University (Inti University) telah melancarkan pusat media yang telah dinaik taraf hasil pelaburan kira-kira RM2 juta dalam penyediaan ruang produksi, sistem teknikal serta peralatan profesional bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran program Komunikasi Massa.
Pusat Media itu menyokong program Komunikasi Massa di bawah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi dengan menyediakan akses kepada pelbagai kemudahan untuk produksi televisyen, pembikinan filem, fotografi, radio, podcast, produksi audio dan penstriman langsung.
Kerja-kerja naik taraf merangkumi studio, bilik kawalan produksi, studio podcast dan suite penyuntingan, selain penambahbaikan terhadap sistem pencahayaan, elektrik dan rangkaian, rawatan akustik serta perabot.
Peralatan profesional turut ditambah bagi menyokong pelbagai peringkat produksi media. Pusat berkenaan kini dilengkapi studio produksi televisyen yang dilengkapi kamera berteknologi tinggi, bilik kawalan produksi, studio podcast, studio radio, bilik audio, studio fotografi dan kemudahan penyuntingan.

Ketua Pegawai Eksekutif INTI International University & Colleges, Dr Chong Kok Wai berkata, pelaburan tersebut bertujuan menyokong pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih praktikal, di samping memperkukuh persediaan graduan Komunikasi Massa.
“Pelaburan ini dapat dilihat menerusi ruang dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Bagaimanapun, nilai sebenarnya akan dapat dilihat melalui perkara yang mampu dilakukan oleh para pensyarah dan pelajar di sini.
“Kami mahu graduan memahami idea, etika dan tanggungjawab di sebalik bidang komunikasi, selain mampu menghasilkan karya yang bersedia untuk disampaikan kepada umum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran pusat media tersebut yang telah dihadiri oleh barisan pengurusan kanan INTI, pensyarah, pelajar serta pengamal media.
Melalui kemudahan tersebut, pelajar berpeluang menyediakan skrip, mengendalikan peralatan profesional, bekerja dalam pasukan produksi dan menilai semula hasil kerja mereka. Mereka juga akan memperoleh pengalaman menghasilkan kandungan dalam pelbagai format dan platform, sejajar dengan skop kerjaya media yang semakin luas dan pelbagai.

Kok Wai menerangkan, graduan yang memasuki industri kini dijangka mampu menyumbang dalam lebih daripada satu bidang bagi sesebuah projek.
“Seseorang graduan mungkin diminta untuk menulis, merakam, membuat penyampaian dan menyunting dalam projek yang sama,” katanya.
“Kita tidak dapat meramalkan setiap peralatan yang akan digunakan oleh pelajar pada masa hadapan. Namun, kita boleh memberikan mereka asas yang kukuh, pengalaman praktikal dan keyakinan untuk terus belajar.”
Selain itu, Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Siti Nurbaayah Daud pula menyifatkan, Pusat Media itu sebagai ruang yang membolehkan pelajar mengembangkan kreativiti dan meneroka kaedah baharu dalam menyampaikan komunikasi.
“Pusat Media ini bukan sekadar sebuah kemudahan. Ia merupakan platform yang menghidupkan idea, mencipta pelbagai cerita dan membantu bakal profesional media membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam landskap digital yang sentiasa berkembang,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan pihak pengurusan universiti serta sumbangan para pensyarah dan kakitangan yang terlibat dalam perancangan dan pembangunan Pusat Media berkenaan.
Menurut Siti Nurbaayah, kerjasama antara institusi akademik dan pihak industri amat penting dalam menyediakan pelajar bagi menghadapi perubahan tuntutan profesion.
“Kerjasama kukuh antara institusi akademik dan industri amat penting dalam melahirkan graduan yang bersedia memenuhi tuntutan masa hadapan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














