fbpx
SAMPAH yang sudah dikeringkan akan diangkut oleh kren untuk dibakar.

Teknologi baharu di Selangor tukar sampah kepada tenaga elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAK pelupusan sisa pepejal bukan lagi satu-satunya solusi untuk melupuskan sampah di negara ini.

Sebaliknya kini, dunia berada dalam fasa transisi kepada kaedah yang lebih dinamik dan mampan demi kelestarian masa hadapan.

Tindakan ‘tanam sampah’ yang telah diamalkan sejak puluhan tahun dahulu mula bergerak ke arah pendekatan kitaran baharu iaitu Sisa Kepada Tenaga atau Waste to Energy (WTE).

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Alam Sekitar Worldwide Holdings Berhad (WHB), Daniel Liew, peningkatan jumlah penghasilan sisa isi rumah setiap tahun menjadi antara faktor yang menyumbang kepada lambakan sampah di tapak pelupusan.

Hal itu secara tidak langsung menuntut kawasan lebih luas dan proses pelupusan yang efisien agar tidak berlaku pencemaran kepada masyarakat.

“Pertumbuhan ekonomi menyaksikan kita berdepan dengan banyak pembangunan perumahan dan binaan komersial di kawasan bandar yang secara tidak langsung menyebabkan penghasilan sisa semakin meningkat.

“Disebabkan itu, kita memerlukan teknologi baharu yang lebih baik daripada tapak pelupusan. Jadi, kita bukan sahaja dapat mengurangkan sisa yang ditanam, malah mengurangkan keperluan tapak pelupusan terutama di Selangor,” katanya kepada K-Tekno ketika ditemu bual baru-baru ini.

LIEW memaklumkan, WHB komited untuk membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah.

Menyedari situasi itu, WHB beralih kepada kaedah pemulihan tenaga (energy recovery), di mana sisa akan dibakar dan haba yang terperangkap dalam sampah dipulihkan, sebelum ditukar menjadi tenaga elektrik.

Terletak di Jeram, Kuala Selangor, logi yang beroperasi sejak Mei lalu itu mampu membakar sekitar 1,200 hingga 1,500 tan sampah sehari.

Dianggarkan 50,000 tan sampah akan dibakar sekitar suhu 1,000 darjah Celsius dalam tempoh satu jam sehingga menjadi abu.

Manakala sisa yang tidak terlupus seperti besi, tembaga atau emas akan diasingkan secara automatik untuk dikitar semula.

TAPAK pelupusan sampah di negara ini berada pada tahap kritikal akibat pertambahan sisa buangan.

Ketika ini, abu sampah yang telah dibakar masih berada dalam peringkat perbincangan WHB sama ada untuk dijadikan batu bata binaan komersial, bahan asas binaan jalan raya atau digunakan bagi menutup lubang di tapak pelupusan sampah.

Sementara itu, Liew berkata, Lori sampah akan memasukkan sampah ke dalam bunker sisa berkeluasan 10,000 tan sampah dan disimpan selama tujuh hari untuk proses pengeringan (vakum) sebelum dibakar.

“Kawasan Jeram sahaja dianggarkan 3,000 hingga 5,000 tan sampah sehari atau bersamaan dengan 800 hingga 1,000 lori sampah sehari dibuang di sini.

“Sampah ini selalunya berada dalam keadaan basah dan perlu dikeringkan terlebih dahulu bagi memastikan proses pembakaran dapat dilakukan dengan sempurna.

“Sampah yang sudah dikeringkan akan diangkut oleh kren penyepit sampah dan diletakkan di grate (jeruji) yang berfungsi sebagai tali sawat (conveyor belt) yang akan bergerak membawa sampah untuk dibakar dalam tempoh 30 minit atau sejam,” katanya.

Dianggarkan 3,000 hingga 5,000 tan sampah sehari dibuang di loji WTE, Jeram, Selangor.
– SADDAM YUSOFF dan IHSAN WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD

Haba yang terhasil daripada proses pembakaran kemudian akan bertindak memanaskan air secara turbin stim.

Sistem itu akan menukar tenaga haba daripada pembakaran sampah kepada tenaga mekanikal yang akhirnya berubah kepada tenaga elektrik.

“Menggunakan sistem boiling water atau pemanasan wap air, haba daripada pembakaran akan dialirkan ke bahagian boiler yang akan menyebabkan air mendidih.

“Wap air yang terhasil akan memberi tekanan dan menggerakkan generator, sekali gus memusingkan turbin untuk menghasilkan tenaga elektrik.

“Wap yang telah kehilangan tenaga selepas memusingkan turbin akan kembali semula ke posisi asal untuk disejukkan dan kembali didihkan untuk proses sama,” ujarnya.

Menerusi kaedah itu, tenaga baharu yang terhasil dianggar sektiar 26 megawatt (MW) sehari.

LOJI WTE di Jeram mampu menghasilkan tenaga elektrik sekitar 26MW sehari.

Dalam sehari, ia mampu membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 26,000 buah rumah.

Gabungan pendekatan Internet of Things (IoT), sensor dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan logi WTE beroperasi secara automatik tanpa henti.

“Kami juga menggunakan sistem automasi, di mana setiap stesen mampu ‘berkomunikasi’ sekiranya berlaku sebarang masalah seperti keseimbangan suhu, penapisan udara dan air.

“Loji WTE di Jeram juga dilengkapi dengan sistem penapisan air dan gas yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar Malaysia sebelum dilepaskan.

“Selain itu, sistem AI digunakan untuk mengenal pasti kandungan kimia yang ada di dalam udara dan air supaya mengikut kelulusan JAS agar tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat.

“AI juga akan mengenal pasti lokasi haba yang berpotensi mengakibatkan kebakaran dan akan mengeluarkan semburan pemadam api secara automatik,” katanya.

Menurutnya, teknologi itu secara tidak langsung dapat membantu pihak pengurusan WTE memantau potensi sampah di dalam bunker yang berkemungkinan boleh mencetuskan kebakaran.

“Sistem AI juga membolehkan kami menguruskan sistem WTE dengan lebih efisien, sistematik dan selamat, sekali gus mengelakkan sebarang risiko.

“Sistem ini juga memantau tahap suhu pembakaran sampah sama ada terlalu tinggi atau rendah.

“Begitu juga dengan wap air yang dihasilkan untuk menggerakkan generator bagi menghasilkan tenaga baharu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN