PERKEMBANGAN pesat dunia digital masa ketika ini membuatkan teknologi Internet of Things (IoT) dilihat sebagai pemangkin utama dalam usaha memperkukuhkan pemantauan kualiti udara dengan lebih cekap, pantas dan menyeluruh.
Keupayaan teknologi tersebut menghubungkan rangkaian penderia pintar bagi mengumpul data secara masa nyata.
Langkah itu mampu mengubah landskap pemantauan alam sekitar serta menjadi nadi kepada pembentukan gaya hidup lebih terjamin dan mampan.
Berbeza dengan sistem pemantauan konvensional yang bergantung kepada stesen berskala besar dan kos tinggi, teknologi IoT menawarkan penyelesaian lebih fleksibel melalui penggunaan penderia bersaiz kecil di pelbagai lokasi.
Data berkaitan pencemaran udara seperti habuk halus, nitrogen dioksida dan ozon dapat dihantar terus ke platform awam sebelum dianalisis secara automatik.
Dianggarkan sekitar 25 sensor bersaiz sederhana dipasang di sekitar bandar Yerevan, Armenia dengan sambungan selular, papan pemuka, peta awam dan penentukuran (calibration).
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Yerevan, Gorik Avetisyan, papan pemuka milik Clarity memiliki sistem amaran kualiti udara intuitif dan mudah digunakan untuk operasi harian.
“Kami mendapati, data platform ini berfungsi dengan baik, sekali gus membolehkan kami mengambil tindakan segera terhadap isu kualiti udara.
“Sensor ini juga berfungsi dengan baik dan membolehkan kami memasukkan data ke dalam platform sistem pemetaan digital bandar secara automatik untuk dianalisis dan visualisasi dengan baik,” katanya dalam portal Clarity.io.

Kemudahan itu membolehkan penduduk setempat mengakses liputan pemantauan lebih luas serta tahap kualiti udara terkini di aplikasi rasmi.
Penderia IoT dipasang bagi mengenal pasti kawasan pencemaran secara lebih tepat bagi membolehkan pihak berkuasa bertindak pantas menangani isu pencemaran.
Malah, penduduk setempat boleh merancang aktiviti harian seperti bersukan, berjoging atau melakukan aktiviti luar ketika tahap kualiti udara berada pada paras selamat.
Dengan teknologi itu, lebih banyak kawasan boleh dipantau menggunakan bajet yang lebih munasabah, sekali gus memperluaskan akses kepada maklumat kesihatan awam.
Kos pemasangan dan penyelenggaraan penderia pintar itu juga jauh lebih rendah berbanding sistem pemantauan bertaraf rujukan yang memerlukan pelaburan puluhan ribu dolar serta penyelenggaraan berkala.
Bagaimanapun, pakar mengingatkan bahawa teknologi IoT bukanlah pengganti mutlak kepada stesen pemantauan bertaraf rujukan.
“Ketepatan bacaan penderia kos rendah masih bergantung kepada penderia yang perlu diselenggara secara sistematik.
“Selain itu, data yang diterima juga mungkin dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti kelembapan dan suhu semasa.
“Tahap keselamatan siber juga menjadi cabaran kepada serangan digital, manakala data hanya dapat diketahui jika peranti berhubung dengan internet,” jelasnya.
Ringkasnya, biarpun mendapat reaksi yang pelbagai, namun penggunaan IoT dijangka terus memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan masyarakat serta memelihara kelestarian alam sekitar.
Inovasi itu bukan sekadar simbol kecanggihan, tetapi menjadi manifestasi komitmen dalam membina masa depan yang lebih baik, selamat dan berkualiti untuk generasi akan datang.














