HONG KONG – Seorang wanita Hong Kong yang menceburi kerjaya sebagai pemandu lori kontena meraih pendapatan HK$29,000 (RM15,000) sebulan, lapor akhbar The Standard semalam.
Wanita dikenali sebagai Luby itu sering berkongsi rutin harian kerjayanya di laman sosial.
Klip Video yang disiarkan mencatatkan lebih 230,000 tontonan dan membuka mata masyarakat kepada penglibatan wanita dalam sektor pengangkutan yang selama ini didominasi oleh kaum lelaki.
Menerusi temu bual bersama media tempatan, Luby berkata, dia pernah bekerja sebagai pemandu peribadi dan mengusahakan perniagaan pakaian sebelum beralih arah ke sektor pengangkutan.
“Memandu adalah hobi saya. Sekarang saya boleh jadikan hobi saya sebagai pekerjaan. Saya tidak akan bosan, dan saya masih boleh mendapatkan wang,” katanya. – AGENSI














