KUALA TERENGGANU – Penganjuran program RXZ Members 8.0 minggu ini bukan sahaja dinantikan peminat motosikal, malah turut memberi limpahan ‘rezeki’ kepada pengusaha inap desa di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus apabila premis berkenaan habis ditempah.
Tinjauan Kosmo! mendapati inap desa di kedua-dua daerah tersebut mula ditempah peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara sejak pengumuman rasmi penganjuran program berkenaan pada 23 Januari lalu.
Salah seorang pengusaha inap desa, Mohd. Razak Samsudin, 45, berkata, dia mengambil peluang penganjuran RXZ Members 8.0 ini untuk mengubah suai salah sebuah rumahnya bagi dijadikan inap desa.
“Saya lihat sambutan setiap kali penganjuran RXZ Members amat memberangsangkan sehingga mencecah 150,000 orang pada tahun lalu.
“Begitupun segelintir peserta merungut menghadapi masalah mendapatkan tempat penginapan. Saya ambil peluang tersebut dengan menawarkan inap desa baharu,” katanya kepada Kosmo!.
RXZ Members menhimpunkan peminat motosikal seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia. Penganjurannya kali kelapan ini diadakan di Litar Drag Gong Badak, Kuala Nerus.
Mohd. Razak berkata, inap desa ditawarnya telah ditempah sekumpulan peminat motosikal tersebut dengan bayaran penuh baru-baru ini.
Mariam Ngah, 39, pula berkata, semua unit inap desa miliknya di Manir di sini, juga telah habis ditempah sejak Februari lalu.
“Tempahan mula diterima sejurus pihak penganjur RXZ Members mengumumkan tarikh penganjuran pada 29 Januari lalu.
“Tak sempat bulan Ramadan lagi, habis semua inap desa saya ditempah, bukan sempena Aidilfitri mahupun Aidiladha tetapi RXZ Members 8.0,” katanya.
Seorang lagi, pengusaha inap desa, Mohd. Safuwan Amir Mohd. Saidi, 36, berkata, tiga unit inap desanya di Gong Badak juga laku ‘bak pisang goreng panas’ dalam kalangan peserta RXZ.
“Inap desa saya digemari peserta RXZ Members kerana semua berpagar. Ia memberi tambahan keselamatan buat motosikal kesayangan mereka yang harganya boleh mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya.














