fbpx
PESERTA Laskar Saudara MG meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands sebelum pulang ke Negeri Sembilan.

Himpun 160 pemilik QJMOTOR SRV250

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEMANGAT persaudaraan dan minat terhadap dunia permotoran menjadi tunjang utama penganjuran acara Gathering QJMOTOR SRV250 atau SRV250 Bike Day 2026 pada 13 dan 14 Jun lalu.

Ia telah menghimpunkan kira-kira 160 peserta dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Program tahunan yang dianjurkan secara bergilir mengikut negeri atau zon itu kali ini berlangsung di Sempeneh Riverfront, Batu Kurau, Perak dengan kelab Northern SRV bertindak sebagai tuan rumah.

Acara berkenaan menghimpunkan pelbagai kelab dan komuniti pemilik motosikal QJMOTOR SRV250 dari seluruh negara.

Berkongsi tentang aktiviti konvoi ukhuwah itu, Presiden Kelab Motosikal Laskar Saudara MG, Muaz Ziekif Datuk Semaharaja Zulkifli, 30, berkata, program tersebut bukan sekadar platform pertemuan komuniti motosikal, malah memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman konvoi jarak jauh secara berkumpulan.

“Melalui program seperti ini, peserta dapat memupuk disiplin ketika menunggang, meningkatkan aspek keselamatan di jalan raya serta memahami nilai persaudaraan dalam komuniti permotoran apabila berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan,” katanya membuka bicara.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu menambah, sambutan yang diterima daripada peserta dan ahli kelab amat menggalakkan walaupun terdapat sebahagian yang tidak dapat hadir atas faktor pekerjaan.

Menurutnya, peserta turut memberikan maklum balas positif terhadap susunan formasi konvoi, pemilihan laluan dan tentatif program yang telah dirancang.

SRV250 Bike Day 2026 menghimpunkan pelbagai kelab dan komuniti pemilik motosikal QJMOTOR SRV250 dari seluruh negara.

Bagi ahli Laskar Saudara MG, perjalanan ke program tersebut bermula seawal pukul 7.30 pagi pada 13 Jun lalu dari hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban sebelum bergerak ke beberapa lokasi pertemuan termasuk R&R Dengkil dan R&R Rawang.

Jelas Muaz Ziekif, kira-kira 70 motosikal QJMOTOR SRV250 bergerak secara konvoi menuju Batu Kurau melalui beberapa hentian bagi tujuan rehat, mengisi minyak dan menunaikan solat.

Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta berpeluang berkenalan dengan ahli komuniti dari pelbagai negeri selain menyertai aktiviti seperti cabutan bertuah, karaoke, memanah, mandi sungai dan menikmati durian bersama-sama.

Selepas tamat program, rombongan Laskar Saudara MG meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands sebelum pulang ke Negeri Sembilan.

Secara keseluruhan, perjalanan dua hala itu melibatkan jarak kira-kira 950 kilometer.

Berkongsi tentang penubuhan kelab, Muaz Ziekif memaklumkan Kelab Motosikal Laskar Saudara MG telah ditubuhkan pada Mac 2025 dengan keahlian rasmi seramai 18 orang.

Selain menggalakkan aktiviti permotoran secara berhemah, penubuhannya turut bertujuan mengangkat nilai persaudaraan, memperkenalkan budaya komuniti motosikal serta memupuk pengetahuan mengenai Adat Perpatih.

Muaz Ziekif berkata, keunikan kelab itu terletak pada sistem pentadbiran yang diinspirasikan daripada struktur dan nilai Adat Perpatih yang masih diamalkan di Negeri Sembilan.

“Harapan kami adalah untuk menjadikan Laskar Saudara MG sebagai sebuah kelab motosikal yang bukan sahaja aktif dalam dunia permotoran, malah menjadi platform yang memelihara warisan Adat Perpatih serta mengukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan ahlinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN