SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan satu pengumuman berkaitan perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia akan dibuat esok.
“F1 itu kita akan umumkan hari Ahad nanti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu atau mendedahkan butiran pengumuman yang bakal dibuat.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dilaporkan berkata kementeriannya sedang mengadakan perbincangan serta menilai kemungkinan perlumbaan F1 kembali berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurutnya, usaha itu susulan maklumat awal yang menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi tuan rumah perlumbaan gantian sekiranya Grand Prix Bahrain tidak dapat diteruskan.
Beliau berkata, Anwar dan Kementerian Belia dan Sukan telah dimaklumkan mengenai cadangan tersebut, manakala keputusan lanjut akan diumumkan selepas segala pertimbangan dimuktamadkan.
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Grand Prix F1 pada 2017, namun SIC masih memiliki lesen Gred 1 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa, sekali gus memenuhi syarat untuk menganjurkan perlumbaan berkenaan.
Pada 2024, Petronas yang juga rakan kongsi pasukan Mercedes F1 pernah dikaitkan dengan laporan bahawa syarikat itu merancang membawa semula perlumbaan F1 ke Malaysia pada 2026, namun perkara tersebut dinafikan. – KOSMO! ONLINE














