KUALA LUMPUR – Syarikat e-dagang penstriman langsung (live commerce) terkemuka Malaysia, JAM, kini mempercepatkan strategi pertumbuhannya menerusi pelancaran rasmi segmen pasaran bahasa Melayu terbaharu, JAM Bahasa, berserta pembukaan studio produksi penstriman langsung eksklusifnya.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, pelancaran JAM Bahasa merupakan salah satu langkah pertumbuhan paling penting syarikat pada tahun ini bagi menyasarkan demografi pengguna berbahasa Melayu.
Bagi menerajui perniagaan baharu ini, JAM telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pasangan selebriti terkenal tanah air, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, yang menyertai syarikat sebagai pengasas bersama (co-founders) dan bukan sekadar duta jenama.
Menurut Cherine, pelantikan ini menyelaraskan kepentingan kedua-dua belah pihak demi pertumbuhan perniagaan jangka panjang, selain membuktikan keyakinan syarikat terhadap model perniagaan mereka yang boleh dicontohi dan diulangi (replicable).
“Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia, menawarkan peluang pasaran yang amat luas, namun segmen e-dagang live secara premium masih belum diteroka sepenuhnya. Apa yang membakar semangat kami adalah model perniagaan ini sebenarnya bersifat universal.
“Kami akan mengguna pakai formula kejayaan yang telah terbukti dalam segmen KOL (influencer) berbahasa Cina, memperkasakannya dengan elemen tempatan (lokalisasi), dan membawakannya ke pasaran Melayu. Jika strategi ini berjaya diaplikasikan daripada satu komuniti ke komuniti yang lain dalam negara yang sama, ia menjadi bukti kukuh bahawa model perniagaan kami mempunyai kebolehskalaan (scalability) yang tinggi,” kongsi Cherine.
Ditubuhkan pada April 2024, JAM mencatatkan lonjakan perniagaan sebanyak tiga kali ganda pada tahun kedua operasinya. Ini mencerminkan permintaan yang kian meningkat daripada jenama dan pencipta kandungan terhadap perkhidmatan e-dagang penstriman langsung yang profesional.
Buat masa ini, syarikat menghasilkan lebih 300 jam kandungan penstriman langsung setiap bulan di pelbagai saluran di bawah Lazada.
Pengasas Bersama, Scha Alyahya menyatakan bahawa e-dagang penstriman langsung kini menjadi saluran runcit yang semakin penting di Malaysia.
“Pengguna hari ini mahukan cadangan produk yang tulen dan pengalaman membeli-belah yang interaktif. E-dagang live merapatkan jurang komunikasi terus ini secara langsung. Pada pandangan peribadi saya, pasaran bahasa Melayu masih mempunyai ruang pertumbuhan yang amat luas.”
Beliau menambah, kerjasama ini bertujuan membina perniagaan yang mampan dan berkekalan, dan bukannya sekadar tawaran duta produk semata-mata.
“Sebagai pengasas bersama, saya terlibat dalam mencorakkan hala tuju perniagaan syarikat. Ini adalah usaha untuk membina sebuah platform yang dipercayai dan mampu memberi nilai buat pengguna serta jenama tempatan,” kata Scha. – KOSMO! ONLINE














