fbpx
SYAIFULNIZAM dan Norbaity bersama Muhammad Aiman (kiri), Nur Adriana Qaleesya (kanan) dan Fatin Nuraisya (duduk) ketika ditemui di rumahnya di Melaka semalam.

‘Dugaan ini sangat berat, semua anak saya sakit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang anak telah meninggal dunia, tiga lagi terlantar akibat penyakit kronik. Itulah ujian yang terpaksa ditempuh pasangan suami isteri dari Kampung Surau Batu, Paya Dalam di sini selepas kehilangan anak mereka akibat jangkitan kuman dan sawan pada Mei lalu.

Menurut Syaifulnizam Abu, 50, dia dan isterinya, Norbaity Zakaria, 44, dikurniakan 10 cahaya mata, namun seorang daripada mereka meninggal dunia pada 20 Mei lalu ketika berusia 13 tahun.

Menurutnya, tiga lagi anak mereka memerlukan penjaga­an sepenuh masa kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri selain tidak boleh bertutur.

“Anak lelaki saya, Muhammad Aiman Ashraf, 17, menghidap sawan kronik yang menjejaskan saraf otak.

“Anak perempuan, Nur Adrianna Qaleesya, 14, pula menghidap epilepsi kronik sehingga menyebabkan otaknya mengecut, manakala Fatin Nuraisya Medina, 5, yang menghidap sindrom down dan hipotiroid turut mengalami masalah otot mengecut serta tidak boleh bercakap,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini.

Tambahnya, seorang lagi anak, Muhammad Faris Hakimi, 10, yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tambak Paya turut berdepan masalah pembelajaran.

Syaifulnizam berkata, dia memerlukan hampir RM3,000 sebulan bagi menampung kos rawatan, ubat-ubatan, susu khas, lampin pakai buang serta keperluan harian anak-anaknya.

“Kos ubat sapu untuk merawat luka melecet akibat terlantar sahaja mencecah kira-kira RM400 sebulan bagi dua orang anak.

“Susu khas pula berharga sekitar RM80 setin dan tidak sampai seminggu sudah habis. Mereka juga hanya boleh makan nasi lembik atau bubur,” katanya.

Menurutnya, dia hanya bekerja sambilan sebagai runner insurans dan melakukan pemasangan peralatan mesin pembayaran elektronik, namun pendapatan yang dibawa pulang lazimnya tidak sampai RM2,000 sebulan.

Syaifulnizam berkata, keluarganya menerima bantuan bulanan sebanyak RM1,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan makanan bernilai RM300 daripada Majlis Agama Islam Melaka serta bantuan persekolahan RM500, namun jumlah itu masih belum mencukup.

Bantuan boleh disalur kepada Syaifulnizam di 017-2307020 atau ke akaun Maybank 154017471350.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN