fbpx
Pasukan bomba membawa mangsa lemas dalam tragedi bot karam di Sungai Baram, Long Selatong. Foto BOMBA

Empat lemas: Mangsa terakhir bot karam Sungai Baram ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARUDI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi bot karam di Sungai Baram, Long Selatong di sini berakhir apabila mangsa terakhir, seorang wanita ditemukan meninggal dunia pagi tadi, sekali gus menjadikan kesemua empat mangsa disahkan maut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, PBK I Eric anak Unyi berkata, mayat Ceria Anak Dullah, 43, ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 5 pagi di Long Miri, kira-kira 94 kilometer dari lokasi bot karam.

Katanya, sepasukan bomba kemudian bergerak ke lokasi pada pukul 7.50 pagi sebelum menggunakan bot milik penduduk untuk membawa keluar mayat mangsa ke tebing sungai.

“Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Long Miri kemudiannya mengesahkan identiti dan kematian mangsa sebelum operasi SAR ditamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi yang memasuki hari ketiga itu melibatkan lima anggota BBP Marudi bersama Unit K9, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdahulu, pada hari kedua operasi semalam, mayat mangsa ketiga, Jonathan Nyurang Lusut, 45, ditemukan orang awam di kawasan Jeram Masen berhampiran Long Seperek kira-kira pukul 9.50 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Long San sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.

“Ketika itu operasi diteruskan sehingga pukul 5 petang, namun mangsa terakhir masih belum ditemukan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa pertama iaitu Jovian Jangin Joshua, 4, ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi bot karam pada hari kejadian, manakala mangsa kedua, Joshua Uken Mathew, 38, ditemukan penduduk kampung di Long Na’ah, kira-kira 34 kilometer dari lokasi kejadian pada keesokan harinya.

Operasi SAR turut mendapat bantuan penduduk kampung dari Long Selatong, Long San, Long Na’ah, Long Keseh dan Long Liam.

Tragedi bot karam itu berlaku pada Selasa lalu di Sungai Baram, Long Selatong, mengorbankan empat sekeluarga selepas bot yang mereka naiki terbalik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN