HULU TERENGGANU – Persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanya melibatkan negeri tersebut dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik di negeri-negeri lain perlu dibincangkan bersama kepimpinan tertinggi parti dan tidak diputuskan secara bersendirian.
“Setakat hari ini, kerjasama itu hanya di Negeri Sembilan. Bagi negeri-negeri lain, kita akan berbincang terlebih dahulu dan keputusan tidak dibuat oleh seorang individu sebaliknya diputuskan secara bersama oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, pendekatan politik perlu mengambil kira keadaan dan keperluan semasa sesebuah negeri memandangkan landskap politik sentiasa dinamik dan berubah.
Menteri Besar Pahang itu berkata, kerjasama politik dengan PN diperlukan bagi konteks Negeri Sembilan.
“Dalam politik, kita perlu bijak membuat pertimbangan dan ada masanya perlu berkongsi demi mencapai matlamat yang lebih besar. Begitupun, pendekatan politik yang diambil sesebuah negeri tidak semestinya sama kerana setiap negeri mempunyai keadaan serta cabaran tersendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














