fbpx
Program WMNC 2026 yang membincangkan usaha memperkasa wanita terutama dari aspek kepimpinan wanita berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sokongan agar bakat wanita profesional terus ‘bertahan’, usah berhenti kerja dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU lambakan bakat profesional wanita berpendidikan tinggi yang terpaksa meninggalkan kerjaya akibat ketiadaan sistem sokongan domestik yang kukuh kini menuntut perhatian daripada semua pihak.

Melihat kepada keperluan itu, agensi Adla Group Sdn. Bhd. (Adla) tampil menggerakkan inisiatif menerusi program Women Mentoring Network Conference (WMNC) 2026 bagi memastikan kestabilan ekosistem pasaran kerja serta memelihara kelangsungan bakat-bakat tersebut.

Inisiatif strategik ini merupakan hasil kerjasama erat antara Adla dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan mendapat sokongan penuh Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti (KPWKM).

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd. Tamil menyifatkan persidangan tersebut bukan sekadar satu platform perbincangan, sebaliknya penanda aras penting dalam mempersiap golongan wanita untuk menggalas tanggungjawab memimpin masa depan negara.

Beliau menekankan bahawa penganjuran persidangan ini menjadi bukti berlakunya anjakan paradigma apabila kualiti kepimpinan yang berasaskan empati, kolaborasi dan kemanusiaan kini diiktiraf sebagai kekuatan utama untuk memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi yang lestari.

“Saya berharap masa depan di mana kolaborasi menjadi lebih kuat daripada kompetisi, inovasi menjahitkan kemanusiaan, bukan sahaja keuntungan dan kesejahteraan menjadi sebuah kejayaan,” katanya pada program itu yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menambah, usaha memperkasa wanita profesional berpendidikan tinggi ini turut disokong menerusi strategi mendigitalisasikan perniagaan tradisional bagi mencipta sumber pendapatan baharu demi membina sebuah negara yang lebih kompetitif.

Jelas beliau, falsafah pemerkasaan ini adalah selaras dengan hasrat Dasar Wanita Negara untuk merapatkan jurang jantina melalui penglibatan aktif wanita dalam bidang STEM, kecerdasan buatan (AI) serta penyediaan ekosistem kerja yang fleksibel.

Bahria menggesa para tetamu untuk bertindak proaktif memandangkan masa hadapan negara kini sedang dicorakkan oleh keupayaan wanita dalam membuat keputusan tepat dan mengambil langkah berani melalui rangkaian kerjasama yang dibina.

Sementara itu, Wakil Pengarah JPW iaitu Timbalan Ketua Pengarah JPW, Dr. Faridah Awang menyatakan pemerkasaan wanita secara holistik memerlukan komitmen komuniti dan kolaborasi strategik yang melangkaui sekadar penggubalan polisi kerajaan.

“Di belakang setiap kejayaan adalah seorang mentor bersama seorang penyokong dan sebuah jaringan yang kuat ini yang menjadikan jaringan ini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan,” ujarnya.
Faridah berkata, inisiatif ini selari dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Pembangunan Wanita Negara 2025 hingga 2030 bertemakan ‘Memartabat Wanita Memperkukuh Negara’ yang memberikan latar belakang cukup kukuh untuk memperkuat kemampuan golongan ini.

Mengulas mengenai sejarah awal penubuhan, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Adla, Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan berkongsi bahawa idea asal pembentukan rangkaian ini sebenarnya telah lama dicetuskan sejak tahun 2015 sebelum beliau menghidupkannya semula ketika era pandemik Covid-19 bagi menangani isu kesihatan mental serta kelestarian perniagaan usahawan wanita.

Hasnorliza berkata, persidangan itu berjaya menghimpunkan lebih 200 perwakilan, mentor dan pakar industri untuk membincangkan masa depan kepimpinan wanita di Malaysia menerusi program penanda aras seperti

Mentoring Development Program (MDP) yang kini memasuki kohort kesembilan.

“Empat pilar berteraskan Dasar Wanita Negara 2025 hingga 2030 yang ditekankan dalam konferensi ini adalah Wanita dan Kepimpinan, Wanita dan Ekonomi, Wanita dan Keselamatan serta Wanita dan Kesejahteraan.

“Setiap pilar tersebut telah ditangani secara khusus dalam agenda konferensi bagi memastikan sokongan penuh terhadap visi negara dalam memperkasa golongan wanita,” jelasnya.

Hasnorliza menerangkan bahawa cabaran golongan ‘sandwic’ era milenial ini amat mencabar berbanding generasi terdahulu kerana rata-rata ibu bapa moden bekerja, sekali gus mengehadkan sistem sokongan penjagaan anak dan memaksa Adla menyediakan platform bimbingan berstruktur demi kelangsungan bakat mereka.

Bagi mempermudah proses padanan tersebut, beliau memaklumkan bahawa agensinya kini telah beralih daripada kaedah manual kepada sistem pangkalan data digital pintar yang membolehkan mentee memilih mentor secara sukarela dan telus berdasarkan kepakaran industri yang diperlukan.

Rentetan itu, penganjuran WMNC 2026 bertemakan ‘Future-Ready Women: Leading Growth, Innovation and Influence’ hadir tepat pada waktunya sebagai platform bagi menangani isu berkenaan.

Menjelang tahun 2030, penanda aras kejayaan negara bukan lagi dikira melalui pencapaian individu wanita semata-mata, tetapi melalui keberkesanan semua pihak dalam membina satu ekosistem yang membolehkan lebih ramai wanita menyumbang dalam ekonomi, berasa selamat dan mencapai kesejahteraan hidup bersama.

“Jadi, melalui program ini kita nak kumpulkan sokongan supaya bakat golongan muda ini tidak mengambil keputusan drastik dengan berhenti kerja seperti generasi kami terdahulu,” kata Hasnorliza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN