KUALA LUMPUR – Negara kekal berpendirian penyelesaian jangka panjang terhadap isu Rohingya tidak boleh diletakkan kepada Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan pihak berkuasa Myanmar serta sokongan masyarakat antarabangsa.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Malaysia berpandangan penyelesaian jangka panjang terhadap isu komuniti itu hanya dapat dicapai dengan menangani punca utama krisis di Myanmar.
“Sehubungan itu, Malaysia terus melaksanakan pelbagai usaha diplomatik dengan pihak Myanmar bagi membolehkan repatriasi yang selamat, sukarela, bermaruah dan mampan ke Myanmar.
“Di peringkat dua hala, Malaysia terus menggesa pentadbiran Myanmar bagi mengembalikan persekitaran yang kondusif untuk komuniti Rohingya kembali ke tempat asal mereka secara selamat,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Lukanisman berkata, Malaysia juga sering menekankan kepada pihak berkuasa Myanmar untuk menyelesaikan konflik dan menangani isu Rohingya dengan segera.
Menurutnya, perkara ini telah dibangkitkan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa pertemuan beliau dengan Menteri Luar Myanmar, U Tin Maung Swe pada 19 Mei lalu.
“Di peringkat serantau, Malaysia secara konsisten menggunakan platform ASEAN untuk menggesa pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) serta penyelesaian aman terhadap krisis di Myanmar.
“ASEAN terus memberikan keutamaan kepada pelaksanaan 5PC, secara menyeluruh dan berkesan sebagai kerangka utama untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di Myanmar, serta mewujudkan keadaan yang kondusif agar komuniti Rohingya dapat kembali ke negara asal mereka,” ujarnya.
Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan ASEAN bagi menyokong pelaksanaan 5PC ke arah penyelesaian krisis di Myanmar. – KOSMO! ONLINE














