PETALING JAYA – Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meluahkan rasa bangga selepas anak sulungnya, Tengku Zahra Jasmina berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Kesusasteraan Inggeris dengan Kepujian Kelas Pertama di University of Warwick, United Kingdom.
Tengku Zahra Jasmina yang merupakan anak sulung daripada empat beradik bakal meneruskan pengajian pada peringkat sarjana di University of Oxford selepas ini.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berkata, detik berkenaan cukup bermakna apabila beliau dan keluarga kembali ke universiti tersebut bagi meraikan hari graduasi anaknya.
“Dulu hantar belajar. Hari ini datang raikan hari graduasi.
“Tahniah, Zahra! Kepujian Kelas Pertama Kesusasteraan Inggeris University of Warwick, United Kingdom. Kami sangat bangga dengan kamu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam nada berseloroh, Tengku Zafrul berkata, beliau lebih mudah memantau anaknya sepanjang melanjutkan pengajian di Oxford memandangkan beliau turut mempunyai program akademik di universiti tersebut.
“Lepas ini sambung sarjana di Oxford pula. Kebetulan papa pun ada ‘fellowship’ di sana, senanglah nak periksa Zahra buat apa,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menitipkan pesanan kepada Tengku Zahra Jasmina supaya kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajian kelak.
“Selepas habis sarjana nanti, jangan lupa balik Malaysia,” katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan beberapa gambar kenangan bersama keluarga sempena majlis graduasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














