fbpx
Khai Bahar mengakui kini lebih berhati-hati dan mengurangkan aktiviti memuat naik kandungan bagi mengelakkan terus menjadi sasaran kecaman netizen.

Khai Bahar kurang kongsi aktiviti, enggan jadi sasaran kecaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Serik apabila setiap perkongsian dalam media sosial sering disalah tafsir, penyanyi Khai Bahar mengakui kini lebih berhati-hati dan mengurangkan aktiviti memuat naik kandungan bagi mengelakkan terus menjadi sasaran kecaman netizen.

Ujar Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 32, setiap hantaran dibuat sebelum ini sering dipetik segelintir pihak untuk sengaja mencetuskan pelbagai spekulasi sehingga mengundang persepsi negatif.

“Saya bukan menyepi tapi sekarang saya memang jarang memuat naik InstaStory. Bukannya apa, sebelum ini setiap kali saya berkongsi sesuatu, pasti ada sahaja orang salah faham.

“Mereka akan ambil satu-satu perkara untuk dijadikan cerita. Jadi saya mahu elakkan perkara seperti itu daripada terus berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun lagu Luluh itu, niat asal berkongsi rutin harian hanyalah untuk menunjukkan dirinya menjalani kehidupan sihat, namun perkara tersebut akhirnya diputarbelitkan.

“Contohnya, saya selalu ke gim. Niat saya cuma hendak berkongsi aktiviti harian supaya orang tahu saya menjalani kehidupan sihat dan aktif.

“Tetapi perkara itu pula dijadikan modal. Ada pula cakap saya sengaja hendak menunjuk-nunjuk. Padahal bukan itu tujuan saya,” ujarnya pada majlis pratonton eksklusif drama Impian Di Seoul, Miffest 2026, di sini, semalam.

Paling penting kata Khai, dia kini lebih selesa berkongsi video pendek dan memilih penampilan lebih sederhana bagi mengelakkan salah faham.

“Sekarang saya sudah tidak memuat naik banyak perkara dalam feed. Kalau ada pun, sekadar video pendek dalam InstaStory, senyum-senyum dan aktiviti harian sahaja.

“Saya juga cuba berpakaian lebih sopan. Apa sahaja dikongsi sekarang, saya fikir masak-masak dahulu,” jelasnya.

Ditanya sama ada semua kejadian tersebut membuatkan dirinya trauma, Khai menegaskan perkara itu lebih kepada langkah berjaga-jaga demi menjaga hati peminat.

“Bukan trauma, cuma saya tidak mahu orang membuat spekulasi sendiri, berburuk sangka dan akhirnya emosi peminat pula terganggu.

“Mereka sudah seperti keluarga saya. Memandangkan saya sudah tiada ibu bapa, mereka lebih mengambil berat tentang diri saya. Kalau boleh, saya tidak mahu timbul persepsi buruk. Mana perlu dikongsi, saya kongsi dan sebaliknya,” jelasnya.

Sebelum ini, Khai sering menjadi sasaran kecaman apabila hampir setiap perkongsian dalam media sosial dirakam layar, dimuat naik semula ke Threads dan dijadikan bahan kritikan beramai-ramai.

Dalam perkembangan lain, Khai bergandingan dengan Wany Hasrita menerusi mikrodrama Impian Di Seoul, musim kedua terbitan NONGSHIM SHIN Ramyun.

Siri tersebut menyusuli kejayaan Salju Di Busan dengan membawakan jalan cerita lebih emosional, konflik lebih mendalam serta babak tergantung yang dijangka mencuri perhatian penonton selain turut diperkenalkan sempena Malaysia International Film Festival (MIFFest) Ke-9 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN