fbpx
Masyarakat secara umumnya melihat wanita kurang berbahaya dan lebih mudah dipercayai berbanding lelaki. -GAMBAR JANAAN AI

Wanita dianggap lebih ‘suci’, kurang disyaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taktik menggunakan wanita sebagai pasukan ‘barisan hadapan’ oleh syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau along memberi kelebihan kepada sindiket.

Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, ini kerana masyarakat secara umumnya melihat golo­ngan itu sebagai kurang berbahaya dan lebih mudah dipercayai berbanding lelaki.

“Lazimnya mangsa tidak menjangkakan ancaman datang daripada seorang wanita. Faktor kejutan ini boleh menyebabkan mangsa menjadi lebih mudah terperdaya atau gagal mengenal pasti risiko pada peringkat awal,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Haezreena berkata, golo­ngan wanita biasanya diberi peranan yang memerlukan kemahiran berkomunikasi seperti menghubungi bakal peminjam, memujuk pelanggan dan memanipulasi emosi mangsa.

Katanya, strategi itu membolehkan individu di peringkat atasan terus berada di belakang tabir tanpa terdedah kepada risiko ditahan pihak berkuasa.

“Individu (dalang) di peringkat atasan sindiket kekal terlin­dung. Ini menunjukkan bahawa sindiket semakin mengamalkan pembahagian tugas yang lebih tersusun seperti organisasi korporat, di mana setiap ahli memainkan fungsi tertentu,” kata­nya.

Mengulas mengenai dakwaan golongan wanita lebih berkesan ketika menekan mangsa, Haezreena berkata, perkara itu tidak harus dilihat sebagai faktor jantina semata-mata.

Sebaliknya, katanya, sindiket mengeksploitasi persepsi masyarakat terhadap wanita untuk menjadikan proses meman­cing dan menekan mangsa lebih berkesan.

“Dalam sesetengah keadaan, wanita juga mungkin menggunakan pendekatan yang lebih bersifat manipulasi psikologi berbanding ancaman fizikal.

“Namun akhirnya yang me­nimbulkan ketakutan bukanlah wanita itu sendiri, tetapi hakikat bahawa mangsa mengetahui terdapat keseluruhan sindiket yang berada di belakangnya,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan wa­nita juga membuktikan sindiket along semakin matang dalam merancang operasi mereka.

“Ia bukan lagi kegiatan yang bergantung kepada samseng atau kekerasan semata-mata, tetapi sudah berubah menjadi organisasi jenayah yang mempunyai strategi, pembahagian tugas dan objektif yang jelas.

“Justeru, penggunaan wanita bukanlah fenomena terpencil, tetapi sebahagian daripada adaptasi berterusan yang menjadi ciri utama sindiket jenayah terancang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN