fbpx
Allahyarham Zulfiqar Zamir (gambar kecil) maut dirempuh pemandu didakwa mabuk dan melawan arus di Persiaran Kota, Klang, 13 Mei lalu.

‘Setiap malam saya peluk baju Zulfiqar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Biarpun sudah dua bulan berlalu, setiap malam saya masih memeluk baju arwah kerana amat merinduinya,”.

Demikian luahan pilu Hamidah Othman, 51, ibu kepada Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, yang maut dirempuh pemandu lelaki didakwa mabuk dan melawan arus di Persiaran Kota, Klang, 13 Mei lalu.

Menurut Hamidah, keluarganya kini menaruh harapan agar pertuduhan terhadap pemandu terbabit dipinda kepada kesalahan lebih berat pada sebutan kes di mahkamah pada 30 Julai ini.

“Semalam saya ada menerima mesej daripada pegawai penyiasat polis yang telah mengemukakan pindaan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kami kini berdebar menanti tarikh itu dan berdoa pertuduhan dipinda mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambah Hamidah, keluarganya hanya mahu menuntut pembelaan dan keadilan buat arwah kerana kes itu melibatkan pemandu mabuk.

“Kami cuma ingin hukuman lebih berat ke atas pelaku dan menjadi pengajaran apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa.

“Keluarga sememangnya reda dengan ketentuan Ilahi, namun kami juga mahu keadilan di dunia ini dan tidak berlaku kepada orang lain,” ujar ibu kepada empat anak itu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Zulfiqar yang parah disahkan meninggal dunia selepas 13 hari bertarung nyawa di wad ICU Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Justeru, keluarga itu memohon pindaan pertuduhan berat dikenakan kerana laporan perubatan hospital membuktikan kematian arwah akibat kecederaan dialami dalam kemalangan tersebut.

Pada 18 Mei lalu, Low Kean Peng, 35, yang juga pembantu perancang acara, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisret Klang atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan mangsa parah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN