KULIM – Kejadian kepala air yang meragut nyawa tiga pengunjung kelmarin mengubah ‘suasana’ kawasan rekreasi di Sungai Sedim itu hari ini yang menyaksikan kehadiran pengunjung merosot dengan hanya ada beberapa kenderaan sahaja.
Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa kawasan yang kebiasaannya menjadi tumpuan orang ramai lengang dengan ada antaranya hanya berkelah.
Seorang penduduk Azhar Othman, 56, berkata, kebiasaannya pada cuti hujung minggu, kawasan rekreasi Sungai Sedim akan dipenuhi pengunjung bermula pukul 10 pagi.
“Jika cuaca elok dan panas, kita boleh lihat ramai dalam sungai, namun berbeza pada hari ini (semalam) kerana ketika saya melakukan rondaan di lokasi yang menjadi tumpuan ramai hanya ada beberapa kenderaan sahaja.
“Malah, ada antara mereka hanya berkelah sambil makan-makan dan tidak turun mandi di kawasan sungai,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azhar, keadaan itu mungkin didorong oleh faktor cuaca yang mendung sejak pagi selain kejadian lemas baru berlaku semalam.
Sementara itu, seorang peniaga memberitahu, setiap kali kejadian lemas berlaku, kehadiran pengunjung akan berkurangan berkemungkinan disebabkan trauma dan mementingkan keselamatan keluarga.
“Kalau ada berlaku kejadian lemas, jumlah pengunjung akan berkurangan, namun perkara itu hanya sementara sahaja, selepas beberapa minggu ia akan kembali seperti biasa. Kebanyakan pengunjung dari luar daerah dan negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














