SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan empat kerusi menjadi tumpuan kerana mengangkat pemimpin kanan parti yang mempunyai pengaruh besar di peringkat negeri dan nasional sebagai calon.
Empat kerusi berkenaan ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Linggi, Chennah dan Pertang.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Dr. Muhamad Fuad Abdul Karim berkata, tumpuan khusus dijangka terarah kepada DUN Linggi yang mempertaruhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya, perpindahan Aminuddin dari kubu kuatnya di Sikamat pada PRN Negeri Sembilan ke-16 bakal menguji sejauh mana kekuatan pengaruh beliau di kawasan baharu.
Katanya, Chennah dijangka menjadi perhatian apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memilih untuk bertanding di kerusi tersebut sementara Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Jalaluddin Alias masing-masing mempertahankan kerusi Rantau dan Pertang.
“Prestasi keempat-empat kerusi ini berpotensi menjadi indikator penting terhadap tahap penerimaan pengundi terhadap kepimpinan parti masing-masing serta hala tuju politik Negeri Sembilan selepas PRN,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Muhamad Fuad memberitahu, selain itu, DUN Rantau dijangka menjadi frontline paling signifikan bagi BN.
“Sebagai kubu tradisi Mohamad dan simbol kekuatan UMNO di Negeri Sembilan, sebarang perubahan pola sokongan di kawasan ini akan memberi implikasi politik yang jauh lebih besar daripada sekadar kemenangan atau kekalahan sesebuah kerusi.
“Prestasi BN di kawasan ini dijangka menjadi ukuran utama terhadap tahap keyakinan akar umbi, selain mencerminkan sejauh mana parti itu masih mampu mengekalkan pengaruh tradisinya dalam landskap politik negeri yang semakin kompetitif,” ujarnya.
Sementara itu, Muhamad Fuad berkata, PRN Negeri Sembilan bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di sebahagian besar kerusi DUN pada 1 Ogos ini.
Katanya, senario yang paling realistik adalah persaingan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu.
“Perkembangan politik semasa menunjukkan Pas yang kini mendominasi Perikatan Nasional (PN) dijangka memberikan sokongan kepada BN, manakala Bersatu yang tidak lagi sehaluan dengan Pas mengesahkan bertanding menggunakan logo parti itu.
“Perkembangan ini membuka ruang kepada pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan strategik. Pada masa sama, keputusan Parti Bersama dan Muda untuk tidak menyertai PRN Negeri Sembilan dijangka mengurangkan kemungkinan berlakunya pertandingan banyak penjuru,” katanya.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini manakala pengundian awal pada 28 Julai ini.
Berdasarkan statistik SPR, seramai 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan. -KOSMO! ONLINE














