APAKAH pandangan SS Mufti berkaitan isu pengurusan jenazah orang Islam yang berlaku baru-baru ini sehingga terbit dakwaan bahawa pengurusan tersebut terpaksa dilewatkan atas sebab-sebab pengurusan, kos dan sebagainya? Mohon pandangan.
JAWAPAN: ANTARA kewajipan yang dituntut ke atas orang Islam selepas berlakunya kematian adalah pengurusan jenazah. Terdapat empat perkara yang perlu dilakukan dengan segera setelah berlaku kematian iaitu memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, melakukan solat jenazah dan mengebumikannya.
Kewajipan ini berbentuk fardu kifayah menurut kesepakatan ulama kecuali dalam hal-hal tertentu seperti jenazah yang mati syahid dan sebagainya.
Tuntutan ini juga diwajibkan kepada orang yang mengetahui tentang berita kematian jenazah tersebut sama ada ahli keluarga terdekat atau selainnya.
Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila matinya salah seorang daripada kamu, maka janganlah kalian mengurungnya (melewatkan pengebumiannya) dan segerakanlah membawanya ke kuburnya.” (Riwayat al-Baihaqi)
Oleh yang demikian, tanggungjawab menguruskan jenazah wajib dipikul bersama oleh ahli waris serta masyarakat setempat. Waris keluarga memegang tanggungjawab utama untuk menguruskan jenazah sekiranya mereka mempunyai ilmu pengetahuan sebagai tanda penghormatan terakhir dan bagi memenuhi amanah si mati.
Bagaimanapun, sekiranya ahli waris tidak berkemampuan atau memerlukan bantuan, maka masyarakat sekeliling seperti ahli kariah masjid berkewajipan untuk membantu menyempurnakan pengurusan jenazah dengan kadar segera.
Kos pengurusan jenazah pada asasnya ditanggung menggunakan harta pusaka si mati sendiri. Hal ini turut dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam turutan pengurusan harta peninggalan si mati iaitu pertama menguruskan pembiayaan kelengkapan dan pengurusan jenazahnya.
Kedua, menyelesaikan hutang-hutangnya. Ketiga, melaksanakan wasiatnya yang tertakluk pada satu pertiga daripada baki harta dan keempat, membahagikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris berhak.
Namun begitu, terdapat beberapa situasi pengurusan jenazah yang dibiayai oleh orang lain atau bukan daripada wang si mati apabila si mati seorang fakir dan sebatang kara. Oleh yang demikian, kos pengurusannya wajib dipikul oleh individu yang menyaranya semasa hidup seperti tanggungjawab bapa kepada anak atau suami kepada isteri.
Jika penanggung nafkah tersebut tiada, belanja pengurusan akan diambil daripada Baitulmal. Sekiranya tiada juga, ia menjadi kewajipan bersama umat Islam yang kaya dan mampu.
Antara kaedah lain bagi melancarkan proses pengurusan jenazah adalah dengan mewujudkan tabung khairat kematian.
Secara umumnya, tabung khairat kematian adalah dana sumbangan yang dikumpul untuk kebajikan ahli apabila berlaku kematian seperti membiayai kos kelengkapan jenazah, upah tukang mandi dan penggali kubur.
Melalui konsep ini, setiap ahli atau keluarga yang berdaftar akan membayar caruman sama ada secara bulanan atau tahunan. Tabung ini dilihat sebagai salah satu bentuk ta’awun (tolong-menolong) yang bijak. Sehubungan itu, salah satu langkah praktikal bagi menyokong kelancaran pengurusan jenazah adalah dengan mendaftar dan menyumbang ke dalam tabung khairat kematian di kariah masing-masing.
Dalam konteks pengurusan jenazah di Malaysia, masyarakat amat disarankan untuk merujuk kepada pihak berautoriti bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar dan mematuhi syarak.
Rujukan utama di peringkat tempatan ialah masjid kariah masing-masing. Selain itu, masyarakat juga boleh mendapatkan perkhidmatan pengurusan jenazah daripada
Badan Pengurusan Jenazah Malaysia yang berdaftar secara rasmi bagi kes-kes tertentu.
Selain itu, segala proses pengendalian hendaklah berpandukan garis panduan pengurusan jenazah yang telah ditetapkan oleh agensi agama negeri seperti Jabatan Agama
Islam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Kesimpulannya, pengurusan jenazah yang terbaik merupakan tanggungjawab utama ahli keluarga dan waris. Umat Islam sewajarnya mengelakkan sebarang perbalahan dalam melaksanakan urusan berkaitan kewajipan fardu kifayah ini.
Dalam situasi begini, prinsip mengutamakan perkara yang paling penting (fiqh awlawiyat) perlulah dipraktikkan agar pengurusan jenazah dapat diselesaikan dengan harmoni.
Ahli waris juga perlu cakna dengan proses pengurusan jenazah di tempat masing-masing dan merujuk kepada pihak berautoriti dalam setiap proses pengendalian jenazah bermula daripada selepas kematian sehingga selesai pengebumian.
Dalam pada itu, umat Islam dinasihatkan agar tidak sesekali mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain dengan mengaut keuntungan berlebihan daripada kos pengurusan jenazah.














