fbpx
Amirudin pada sidang akhbar di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Sokongan Melayu merosot, PH susun langkah baharu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penurunan sokongan pengundi Melayu dan keperluan memperkukuh hubungan dengan golongan muda antara perkara utama dikenal pasti dalam bedah siasat Pakatan Harapan (PH) selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, analisis mendapati gabungan itu masih memiliki sokongan asas yang besar terutama daripada pengundi Cina, namun berdepan kemerosotan ketara sokongan dalam kalangan pengundi Melayu.

Beliau berkata, perubahan sokongan itu dipercayai dipengaruhi beberapa faktor termasuk faktor populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan dinamika politik negeri berkenaan. 

“Base vote kita agak besar daripada pengundi Tiong Hua tetapi kita mengalami penurunan agak ketara dalam kalangan pengundi Melayu.

“Ia mungkin disebabkan populariti Menteri Besar Johor dan beberapa faktor lain. Insya-Allah, kita akan memperkemaskan sokongan serta merapatkan hubungan dengan pengundi muda. 

“Ini disebabkan peratusan pengundi muda masih lagi boleh dikenalpasti dan boleh dipertingkatkan berdasarkan daripada data carapan setiap saluran yang telah kita kembangkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Mengulas langkah seterusnya, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH akan menyusun strategi lebih tersusun bagi menghadapi beberapa pilihan raya akan datang termasuk PRN Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.

Katanya, perbincangan bersama kepimpinan PH akan diadakan bagi memperkemaskan gerak kerja serta pendekatan kempen.

“Malam ini, saya akan meeting dengan peringkat PH dulu supaya kita boleh menyusun strategi yang lebih kemas dalam PRN Sembilan dan persediaan Pilihan Raya Melaka dan Sarawak serta pilihan raya lain,” jelasnya. 

Mengenai pendekatan mendekati pengundi muda, beliau mengakui PH sebelum ini lebih banyak memberi tumpuan kepada pengundi teras melalui pendekatan seperti ceramah umum.

Bagaimanapun, katanya, perubahan strategi akan dilaksanakan dengan mengambil kira latar belakang, lokaliti dan kawasan calon terutama di Negeri Sembilan yang kini ditadbir PH.

“Mungkin di Johor, kehadiran kita itu dalam kerangka pembangkang yang ingin merampas. Jadi tindakan-tindakan  tertentu kempen yang agresif dilakukan bersesuaian dengan mood dan nada yang diperlukan. 

“Cuma dalam pendekatan Negeri Sembilan ini, kita tengok kepada kesesuaian latar belakang, lokaliti dan kawasan calon-calon yang kita perkenalkan. Alhamdulillah, saya percaya kita masih lagi berada dalam landasan yang tepat dan kukuh untuk pertahankan Negeri Sembilan,” ujarnya. 

Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan beliau yang baharu dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sembilan akan terlibat secara aktif dalam persiapan menghadapi pilihan raya negeri itu.

“Saya baharu dilantik Pengarah Pilihan Raya  Negeri Sembilan semalam. Tetapi Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin juga telah melaksanakan beberapa langkah awal. 

“Sudah pasti kita akan mengabungkan dengan keperluan dan sokongan diperlukan supaya gerak kerja lebih kemas dan mesej teratur dan tersusun daripada komponen PH,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN