fbpx
Abdul Rahman ketika menjawab pertanyaan Rodziah di Dewan Rakyat, hari ini.

Pertimbang pembinaan loji jana kuasa nuklear jika semua prasyarat dipenuhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan hanya akan mempertimbangkan pembinaan loji jana kuasa nuklear di Malaysia selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementerian juga sedang melaksanakan penilaian menyeluruh dan berperingkat bagi menilai potensi pembangunan program tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik jangka panjang di Malaysia.

Beliau menjelaskan, hasil penilaian perlu menunjukkan bahawa teknologi tersebut selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara.

“Penilaian menyeluruh dan berperingkat akan dilaksanakan menerusi Perbadanan Pejabat Program Tenaga Elektrik selaku Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear.

“Ia termasuk hasil penilaian menunjukkan bahawa teknologi tersebut selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan ketika ini memberi keutamaan strategik kepada pemerkasaan dan penggunaan sumber tenaga boleh baharu sedia ada yang telah terbukti berkesan serta berdaya maju.

“Sumber itu meliputi fotovolta suria, biojisim, biogas dan hidrokuasa,” katanya ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) apakah hasil kajian terhadap potensi sumber tenaga rendah karbon alternatif seperti nuklear, biojisim, biogas dan geoterma sebagai pelengkap bagi sumber tenaga boleh baharu sedia ada dalam mengurangkan keterdedahan Malaysia kepada kejutan tenaga luar.

Tambah Abdul Rahman, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah mengenal pasti sebanyak 51.88 MW potensi penjanaan tenaga bersumberkan Palm Oil Mill boleh dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Selain itu, SEDA dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains turut melaksanakan kajian penilaian sumber geoterma di Ulu Slim, Perak.

“Bagaimanapun, berdasarkan hasil dapatan kajian tersebut, penggerudian eksplorasi perlu dilaksanakan bagi mengesahkan kapasiti sebenar dan kebolehlaksanaan pembangunan sumber geoterma di kawasan tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN