KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Pelan Strategik KPN 2026-2030 dan Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 sebagai hala tuju baharu bagi memperkukuh pembinaan negara bangsa serta mempercepat transformasi digital kementerian untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Pelan Strategik KPN 2026-2030 dibangunkan berasaskan lima teras utama, 12 strategi dan 33 inisiatif yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan nilai kebangsaan, pengukuhan tapak integrasi sosial serta pemeliharaan khazanah warisan negara.
Katanya, lima teras tersebut merangkumi Patriotisme dan Demokrasi, Pembinaan Negara Bangsa, Ekosistem Perpaduan, Transformasi Digital Perpaduan serta Tadbir Urus Organisasi dan Komunikasi yang diselaraskan dengan aspirasi Malaysia Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Sebagai pembaharuan, pelan ini turut memperkenalkan Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP) sebagai instrumen utama untuk memantau pelaksanaan pelan operasi dan mengukur keberkesanan setiap strategi serta inisiatif secara lebih sistematik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bilangan 3/2026 KPN di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, hari ini.
Pada masa sama, Aaron berkata, Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 pula mengandungi tujuh strategi, 21 program dan 55 subprogram yang memberi fokus kepada pemerkasaan penyampaian perkhidmatan digital bersepadu, pengukuhan infrastruktur digital serta tadbir urus ICT.
Beliau turut menggesa Jabatan Muzium Malaysia memanfaatkan Geran Padanan Muzium bernilai RM5 juta dengan memperluaskan kerjasama bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan komuniti korporat bagi memperkasa pembangunan institusi permuziuman negara.
Tambahnya, penubuhan Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Kebangsaan yang menghimpunkan koleksi daripada 232 muzium di seluruh negara selain mempergiat Kempen Derma Koleksi yang kini menyaksikan Jabatan Muzium Malaysia memiliki 437,242 koleksi artifak dan bahan warisan.
Selain itu, Aaron mahu Jabatan Muzium Malaysia memperkukuh pendekatan promosi yang lebih mesra generasi muda di samping meneruskan agenda pendigitalan termasuk pembangunan kandungan imersif di Muzium Negara dan Pameran Digital Muzium Arkeologi Lembah Bujang. – KOSMO! ONLINE















